Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sierra Leone lancar suntikan pertama vaksin Ebola

    FREETOWN, 6 DIS – Sierra Leone kelmarin mula memberikan suntikan pertama kepada ribuan pekerja barisan hadapan dengan vaksin pencegahan Ebola, 10 tahun selepas penyakit itu melanda bahagian Afrika Barat yang membunuh lebih 11,000 orang.

    Guinea, Sierra Leone dan Liberia adalah negara yang paling teruk terjejas 10 tahun lalu, dalam wabak Ebola terbesar sejak virus itu pertama kali ditemui pada 1976.

    Sierra Leone adalah yang pertama daripada tiga buah negara yang melancarkan kempen vaksinasi kebangsaan Ebola, yang akan menyasarkan 20,000 pekerja barisan hadapan.

    Profesional penjagaan kesihatan dan mereka yang paling berisiko terdedah kepada penyakit itu – seperti responden pertama, perawat tradisional, pemimpin agama dan pasukan keselamatan – akan menerima satu dos vaksin Ervebo.

    Seorang wartawan AFP menyaksikan proses itu bermula dengan perlahan di beberapa pusat kesihatan dan balai polis di ibu negara Freetown .

    “Vaksin Ebola sangat baik untuk kami pekerja kesihatan,”kata Josephine Abdulai yang berusia 40 tahun selepas menerima suntikan di hospital bersalin di timur Freetown.

    Dia berkata telah kehilangan lima ahli keluarga akibat penyakit itu pada 2014.

    “Jika vaksin ini tersedia pada masa itu nyawa mereka boleh diselamatkan,” tambahnya. – AFP

    Seorang pekerja kesihatan memberi satu dos vaksin Ebola kepada seorang lelaki di Hospital Christian Maternity di Freetown, Sierra Leone pada 5 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda