MANILA, 11 DIS – Kumpulan jenayah mendalangi sindiket penipuan dalam talian terbesar di Filipina kini mengubah taktik dengan mengecilkan operasi mereka bagi mengelak tindakan tegas yang giat dilaksanakan kerajaan, menurut pegawai kerajaan, kelmarin.
Presiden Ferdinand Marcos pada Julai lalu mengumumkan larangan sepenuhnya ke atas pengendali permainan dalam talian Filipina (POGOs) menjelang akhir 2024.
Manila mendakwa operasi itu sering digunakan sebagai penyamaran oleh jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan dan pembunuhan.
Timbalan Setiausaha Kehakiman, Felix Nicholas Ty berkata serbuan kerajaan masih diteruskan kerana sindiket masih memperdagangkan pekerja asing dan tempatan, memaksa mereka menipu pelanggan di seluruh dunia dengan skim pelaburan palsu.
Bagaimanapun, sindiket itu kini tidak lagi tertumpu di kawasan besar seperti kompleks pejabat di bandar utama.
Sebaliknya, mereka berpindah ke kawasan luar bandar menggunakan bangunan kecil yang kurang mencurigakan.
“Modus operandi (MO) mereka kini adalah operasi berskala kecil seperti di resort atau kediaman,” kata Ty dalam satu forum keselamatan, sambil menambah mereka turut beralih kepada peralatan yang kurang canggih.
Senator Sherwin Gatchalian, yang turut bercakap dalam forum itu, bersetuju bahawa operasi sindiket semakin kecil.
“Kami melihat evolusi daripada operasi berskala besar kepada operasi kecil,” katanya. – AFP