MELBOURNE, 20 JAN – Juara bertahan, Jannik Sinner memerlukan rawatan perubatan dalam cuaca panas terik dan berdepan gangguan yang lama setelah dia mematahkan servis lawannya untuk mara ke suku akhir Terbuka Australia, hari ini.
Pilihan utama itu sekali lagi ketinggalan satu set sebelum menang 6-3, 3-6, 6-3, 6-2 ketika menentang Dane Holger Rune di Rod Laver Arena di mana kedua-dua pemain itu memerlukan rawatan perubatan.
Sinner mengalami kesukaran, tangannya kelihatan menggigil dan degupan jantungnya diperiksa pada set ketiga sebelum dia meninggalkan gelanggang untuk masa perubatan.
Manakala Rune pula memerlukan rawatan untuk lutut kanan yang cedera pada set yang sama.
Permainan kemudiannya terpaksa ditangguhkan selama 20 minit setelah Sinner merobohkan pendakap besi yang mengikat jaring ke lantai menerusi pukulan servisnya pada awal set keempat.
“Ia sangat sukar,” kata Sinner, yang memasang cita-cita menjadi lelaki Itali pertama memenangi tiga kejuaraan Grand Slam.
“Saya cuba bertahan secara mental, saya cuba kekal berhubung dengan permainan servis dan dalam permainan balas saya dengan hanya melihat apa yang berlaku,” tambahnya. – AFP