Selama 24 tahun berjuang dalam dunia muzik arus perdana cukup mematangkan penyanyi popular, Siti Nordiana, 38.
Sepanjang tempoh lebih dua dekad itu, penyanyi berusia 38 tahun yang lebih mesra disapa Nana mengharungi pasang surut, suka dan duka dalam bidang seni.
Sisi matang Nana turut diterjemahkan menerusi kerjaya nyanyiannya. Daripada penyanyi, kini Nana mampu menghasilkan lagu sendiri.
Buktinya, beberapa single dihasilkan Nana selepas menjuarai program Gegar Vaganza Musim Kedua (GV2) berjaya menambat hati peminat, sekali gus meletakkannya antara penyanyi lama yang kekal relevan sehingga hari ini.
Terbaru, Nana muncul menerusi single Arah Cinta ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna dan diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music.
Nana berkata, single bergenre pop balada itu adalah idea sepenuhnya oleh Ikhwan.
“Single Arah Cinta dihasilkan berdasarkan kisah perhubungan toksik.
“Jadi, Ikhwan terjemahkan kisah ini dalam lagu Arah Cinta. Saya cuba membayangkan perkara ini kerana sekeliling saya juga terdapat kisah toksik.
“Dengan cara itu, saya dapat ‘feel’ untuk menyampaikan lagu ini,” katanya.
Jika beberapa karya sebelum ini Nana sendiri memilih menghasilkan lagu dan liriknya, berbeza dengan Arah Cinta.
Nana berkata, kekangan masa membuatkannya menyerahkan sepenuhnya kerja penghasilan lagu kepada syarikat rakaman dan komposer.
“Saya tiada masalah bekerjasama dengan komposer lain. Sejujurnya, saya tiada masa untuk menghasilkan karya baharu.
“Untuk Arah Cinta, ia tidak boleh dihasilkan dalam tempoh singkat untuk mendapatkan idea.
“Bagaimanapun, saya mahukan single baharu keluar dengan cepat. Jadi, kalau nak tunggu idea sendiri akan ambil masa. – Agensi