Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sistem pengairan unik bantu ladang berpasir Tunisia

    GHAR EL MELH, TUNISIA – Petani berhampiran lagun tepi pantai di utara Tunisia sedang bergelut untuk memelihara sistem pengairan tradisional yang unik yang telah mencetuskan minat baharu ketika masalah kekurangan air semakin meruncing di Afrika Utara.

    Guru sekolah bersara, Ali Garci merayau-rayau di kawasan kecil berpasir, memeriksa ubi kentang, pokok salad dan bawang yang ditanamnya.

    “Kami bukan bercucuk tanam demi keuntungan yang diperoleh, tetapi untuk seni dan keseronokan,” kata lelaki berusia 61 tahun itu, yang mengusahakan satu hektar tanah yang diwarisi dari keluarganya.

    Petani tempatan telah menggunakan teknik ‘ramli’ sejak abad ke-17, apabila penduduk Islam dan Yahudi menetap di Afrika Utara selepas melarikan diri dari penaklukan semula Andalusia dari Katolik.

    Sesetengah penduduk mendapatkan perlindungan di Ghar El Melh, sebuah bandar nelayan kecil di utara Tunisia.

    Namun mereka terpaksa bergelut dengan kekurangan tanah untuk bercucuk tanam dan juga air.

    Mereka belajar menggunakan tanah gembur, berpasir dan air tawar bawah tanah, yang lebih ringan daripada air laut, ‘terapung’ di atas air bawah tanah yang lebih masin di bawahnya.

    Apabila air hujan dari kawasan bukit sampai ke kawasan berpasir di sekitar lagun Ghar El Melh, ia tidak bercampur dengan air masin di bawahnya, sebaliknya ia membentuk lapisan nipis air tawar bawah tanah.

    Dua kali sehari, air pasang di Mediterranen menambah paras, mem-bawa air tawar berharga ke petak sayur-sayuran ramli.

    “Ia seolah-olah lautan sedang menyusui anaknya,” menurut Abdelkarim Gabarou, yang telah mengusahakan petak tradisional selama lebih 40 tahun.

    Pemandangan tanah pertanian berhampiran laut di kampung nelayan kecil di Ghar El Melh di utara Tunisia. – AFP
    Petani mengusahakan petak tanaman berhampiran laut di kampung nelayan kecil di Ghar El Melh, utara Tunisia. – AFP
    Guru sekolah bersara Ali Garci bekerja di petak tanah yang diwarisi dari keluarganya.
    – AFP

    Ladang ramli – ramli adalah bahasa Arab untuk ‘berpasir’ – merangkumi kira-kira 200 hektar tanah dan menyara kira-kira 300 orang.

    Ia disenaraikan dalam senarai Sistem Warisan Pertanian Penting Global Pertubuhan Makanan dan Perladangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada tahun lalu.

    FAO berkata sistem ramli adalah ‘unik bukan sahaja di Tunisia tetapi di seluruh dunia.’

    Hasil keluaran ramli dikatakan mempunyai rasa unik, dan amat popular di dalam negara dan di Tunis.

    Namun petani menyuarakan kekesalan produk mereka kekurangan pensijilan formal, meskipun menerima pengiktirafan FAO.

    Mereka juga mesti berdepan dengan ancaman yang meningkat terhadap sistem perladangan unik mereka, akibat perubahan iklim dan pembangunan.

    Tatkala hujan yang turun menjadi semakin tidak menentu dan paras laut naik, pergantungan petani ramli pada alam semula jadi menjadi semakin sukar.

    “Kami bergantung sepenuhnya pada air hujan,” kata Garci. “Kami cuba memeliharanya dalam cara paling asli yang mungkin.”

    Untuk sistem berfungsi, akar sayur-sayuran mesti mencecah air tawar tetapi juga, penting, bukan air masin di bawah.

    Ia memerlukan jumlah pasir yang betul di atas: lapisan dengan ketebalan 40 sentimeter.
    Raoudha Gafrej, seorang pakar mengenai sumber air dan perubahan iklim, berkata adalah hampir mustahil untuk menghasilkan semula sistem ramli di tempat lain.

    “Sistem pintar ini tidak merangkumi kawasan besar tetapi kami perlu memeliharanya, disebabkan negara memerlukan setiap titisan air yang boleh diperolehnya,” kata beliau.

    Tidak seperti kawasan lain di Tunisia, ladang berkenaan berkembang maju sepanjang tahun tanpa pengairan tiruan, membolehkan petani menghasilkan sehingga 20 tan tanaman setahun.

    Mensiang melindungi petak sayuran, dengan saiz empat meter lebar, daripada angin dan hakisan, tetapi untuk melindungi mereka daripada aktiviti manusia merupakan satu lagi isu.

    Garis pinggir laut yang cantik ini, di mana jalur pasir putih yang panjang memisahkan lagun dari laut, adalah popular di kalangan pelancong.

    “Ramai petani menimbang menjual tanah mereka dengan harga tinggi, kepada orang yang ingin membina rumah menghadap laut dan bukit,” kata Garci.

    Sementara itu, dia berkata hanya segelintir penduduk muda Tunisia yang ingin bekerja sebagai petani.

    Namun di sebuah negara di mana 80 peratus daripada air disalurkan kepada pengairan, mana-mana usaha untuk menjadikan penggunaan air secara efisien adalah amat berharga.

    Di pulau Djerba di Tunisia, di mana bekalan air terputus pada musim panas lazim berlaku, sebuah badan NGO baru-baru ini membaik pulih 15 takungan lama untuk mengumpul air hujan untuk penyaliran dalam bulan-bulan lebih kering.

    Gafrej berkata usaha sedemikian adalah penting.

    “Kami perlu membantu memper-kukuhkan budaya pemuliharaan air ini,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda