GENEVA, 27 APRIL – Pendakwa raya Switzerland berkata pada Selasa mereka telah mendakwa dua pengurus sebuah syarikat cari gali minyak Arab Saudi sebagai sebahagian daripada siasatan antarabangsa selama bertahun-tahun terhadap skandal yang dikaitkan dengan dana kekayaan negara Malaysia yang pernah digambarkan FBI sebagai ‘kes kleptokrasi terbesar’.
Pejabat peguam negara Switzerland berkata dua pengurus PetroSaudi itu didakwa cuba memperkayakan diri sendiri dan orang lain dengan menyalahgunakan sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion yang dipindahkan ke dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pegawai Switzerland tidak menamakan pasangan itu atas alasan privasi.
Dakwaan itu adalah yang pertama seumpamanya di Switzerland, di mana beberapa institusi kewangan terjebak dalam skandal meluas melibatkan dana pelaburan milik kerajaan yang dikenali sebagai 1MDB.
Penyiasat Malaysia mendakwa lebih daripada AS$4.5 bilion telah dicuri daripada dana yang ditubuhkan pada 2009 dan digubah oleh rakan sekutu bekas Perdana Menteri Najib Razak melalui beberapa akaun bank di Amerika Syarikat dan negara lain.
Sebahagian wang yang diseleweng itu didakwa digunakan untuk membayar barang kemas, hotel, seni dan kapal layar mewah, dan membantu membiayai filem Hollywood seperti The Wolf of Wall Street.
Lebih daripada AS$700 juta telah masuk dalam akaun bank Najib. Dia telah dibicarakan di Malaysia pada Ogos dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P14-1A-paper-web_28042023.jpg)