Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 28 Jun – Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Bisnes masing-masing muncul juara kategori lelaki dan perempuan pada Pertandingan Tausyeh Peringkat Akhir yang berlangsung di Dewan Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong, hari ini.
Manakala itu, naib johan bagi kategori lelaki disandang oleh Kumpulan PTE Tutong dan Kumpulan PTE Meragang memenangi tempat ketiga.
Bagi kategori perempuan, naib johan dimenangi oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITAQSHHB) dan tempat ketiga disandang oleh PTE Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Serudin bin Haji Timbang. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Rohani dan dikelolakan oleh PTE Tutong itu telah disertai oleh sembilan buah pasukan bagi kedua-dua kategori.
Kategori lelaki telah disertai oleh pasukan SMALHB, PTE Sengkurong, PTE Meragang dan PTE Tutong. Sementara itu, kategori perempuan telah disertai oleh pasukan ITAQSHHB, IBTE Kampus Agro-Teknologi, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, IBTE Kampus Bisnes dan PTE Tutong.
Antara tujuan pertandingan adalah untuk memupuk minat para pelajar dalam bidang kesenian di samping mencungkil dan mengetengahkan bakat yang sedia ada, selain dapat meningkatkan rasa kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.