Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    SME360 bincang peluang PKS dalam sektor tenaga

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah meneruskan lagi Siri 10 BIBD SME360 dengan perbincangan mengenai peluang-peluang perusahaan kecil dan sederhana (PKS), amalan terbaik dan masa depan sektor tenaga.

    Forum yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, itu adalah sebagai sebahagian daripada sokongan BIBD untuk Minggu Tenaga di bawah Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempena Persidangan dan Pameran Per-tengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022.

    Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra antara yang hadir pada sesi forum berkenaan.

    Menurut BIBD, forum dimulakan dengan topik Ticket to Brunei’s Energy Sector yang antara lain bertujuan untuk memberi idea yang lebih baik kepada PKS akan keperluan kemasukan untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kepada syarikat utama minyak dan gas di Brunei.

    Ahli panel penceramah pada forum itu, terdiri daripada beberapa orang wakil terbesar dalam sektor tenaga tempatan yang terdiri Ketua EICV di Jabatan Tenaga di JPM, Romeo Wee Edong; Pengurus Kewangan dan Pematuhan di TotalEnergies EP (Brunei) B.V, Hafizah Bakar; Pengurus Kontrak dan Perolehan di Brunei LNG, Hajah Sujanatulwati Haji Minudin dan Pengurus Kontrak dan Perolehan di Brunei Gas Carriers, Pengiran Dinawati Pengiran Haji Matzin.

    Tan Pheng Leong, Daniel Wong dan Dayang Noor Dina Zharina semasa sesi forum BIBD SME360 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar selaku ketua Kumpulan Transformasi Kemapanan BIBD semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada forum tersebut. – Gambar serahan BIBD

    Kemudian, sesi forum diteruskan dengan membincangkan tajuk ‘Peluang PKS dalam Tenaga Lestari dan Penyelesaian’ dengan meneroka konsep tenaga lestari dan kepentingannya untuk masa hadapan.

    Ahli-ahli panel bagi sesi tersebut ialah Ketua Divisyen Tenaga Mapan di Jabatan Tenaga, JPM, Dayang Noor Dina Zharina binti Haji Yahya; Pengarah Urusan di CIC Environmental Services, Daniel Wong dan Ketua Pegawai Kewangan di BIBD, Tan Pheng Leong.

    Forum SME360 diteruskan pada sebelah petang dengan sesi perkongsian pandangan PKS daripada sektor tenaga di mana sesi berkenaan menampilkan mereka yang mempunyai pengalaman sebagai penyedia perkhidmatan untuk minyak dan gas tempatan.

    Perbincangan diketuai oleh Pengurus Besar (Perkhidmatan Kejuruteraan) Srikandi, Dato Jamain Haji Julaihi; Pengurus Besar SPHI Marine Sdn Bhd, Haji Ibrahim Khalili; Pengarah Operasi Kejuruteraan dan Pengurusan Brudesh, Malai Izzat Faris bin Malai Haji Abdul Hamid dan Pengarah Urusan Esca Marine, Mashriem Taufik.

    Sesi akhir Forum SME360 telah disertai oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Daniel Leong; Pengurus Besar Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Martin Adema dan Pengarah Urusan Rukun Al Yaqeen Brunei, Haji Zakaria Aziz. Pada sesi tersebut, ahli-ahli panel juga melihat bagaimana PKS berpotensi meneroka pertumbuhan di luar sempadan Brunei ke arah pertumbuhan serantau atau antarabangsa.

    Episod akhir SME360 akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas semasa Minggu Ekonomi MYCE 2022 pada 1 Julai depan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...