Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    SMK Sri Kiambang hasilkan baja organik guna sayur terbuang, hampas tebu

    KOTA BHARU, 28 OGOS – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang di Pasir Mas di sini berjaya menghasilkan baja organik dengan hanya menggunakan empat bahan sayur terbuang, hampas tebu, gula perang dan yis.

    Guru Pembimbing, Nik Azira Raja Hassan berkata baja organik dikenali ‘Kiambang Super Organik’ itu dihasilkan enam pelajar Tingkatan 5 aliran Sains di bawah bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

    Pelajar terlibat ialah Nor Liyana Dania Kam Sani, Nurul Iman Samsul Kamal, Siti Noraisyah Ramadhaniah Mohd Azri Shah, Rahadatul Aisy Noorhisyam, Mohamad Zul Iman Redzuan Mohd Zawawi dan Muhammad Hariz Hafizuddin Muhamad Pauzi.

    “Baja organik yang dihasilkan ini bukan sahaja mampu menyuburkan tanaman bahkan baik untuk kesihatan binatang ternakan, menghilangkan bau pada kandang ternakan selain mampu membantu proses fotosintesis tanaman sekali gus menyuburkan tanah.

    “Proses menghasilkan baja juga agak singkat iaitu sekitar tiga bulan kerana hampas tebu dan sayur terbuang yang diperoleh dikeringkan sebelum diperam bersama gula perang serta yis,” katanya kepada Bernama di Program STEM Pitching Fiesta Mini Teaser STEM Kelantan Tahap 3 Kohort 1 di Dewan Yayasan Islam Kelantan hari ini.

    Beliau berkata nisbah air rendaman serta sukatan bahan sangat penting untuk memastikan baja yang dihasilkan berkualiti atau sebaliknya. – Bernama

    Pelajar tingkatan lima aliran sains dalam bidang STEM mempamerkan baja organik yang dihasilkan mereka pada program tersebut di Dewan Yayasan Islam Kelantan pada 28 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda