Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sony tumpu seni kreatif, penderia, IP, bukan alat

    TOKYO, 23 MEI – Syarikat elektronik dan hiburan Jepun, Sony berkata ia menumpukan pada kreativiti dalam filem, animasi dan permainan video, berbanding gajet lama.

    Ketua eksekutifnya, Kenichiro Yoshida, menggariskan strategi syarikat hari ini, mengatakan Sony membantu profesional kreatif menyampaikan apa yang dipanggilnya ‘kando’ atau pengalaman yang bermakna.

    Yoshida berkata syarikat itu kini menekankan proses kreatif itu sendiri dan bukannya produk berharga masa lalu seperti pemain muzik mudah alih Walkman dan TV berwarna Trinitron. Beliau berkata ‘sinergi’ bukan lagi antara hiburan dan elektronik, tetapi ditentukan oleh harta intelek merangkumi animasi, muzik, permainan dan filem.

    “Kami akan terus menyokong kreativiti orang ramai melalui teknologi kami,” katanya dalam taklimat dalam talian.

    Sony sedang menghadapi masa yang sukar apabila pesaingnya menghasilkan produk elektronik yang lebih murah tetapi kompetitif. Pengkritik pula berkata menceburi filem, muzik dan hiburan lain kurang menguntungkan.

    Bermula dengan pemerolehan EMI Music Publishing pada 2018, Sony telah melabur kira-kira 1.5 trilion yen (AS$10 bilion) dalam tempoh enam tahun lalu untuk mengukuhkan penciptaan kandungannya.

    Pada tahun 2021, ia memperoleh Crunchyroll iaitu penyiaran animasi Jepun ke seluruh dunia dengan 13 juta pelanggan dan juga Yoasobi iaitu pasangan artis muzik Jepun dengan teknologi Vocaloid, perisian sintesis suara nyanyian yang sedang menarik peminat
    global.

    Sony juga mempunyai teknologi pengkomputeran masa nyata yang digunakan dalam kamera untuk acara sukan kerana ia boleh merakam subjek yang bergerak dengan cepat tanpa herotan. Ia turut digunakan dalam penyuntingan berita dan video 3D dan grafik komputer termasuk penghasilan filem dan permainan komputer berdasarkan pergerakan atlet manusia, menurut Yoshida. – AP

    Ibu pejabat Sony Corp. di Tokyo pada Mei 2022. Sony kini tumpukan pada kreativiti. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda