Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Spurs belasah Leeds, buru empat teratas EPL

    LEEDS, UNITED KINGDOM, 27 FEB – Tottenham menewaskan Leeds 4-0 kelmarin untuk mengembalikan senyuman pada wajah Antonio Conte dan menjerumuskan pasukan Marcelo Bielsa lebih dalam ke masalah zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).

    Pasukan pelawat, yang tewas empat daripada lima perlawanan liga sebelum ini, mendahului 3-0 pada separuh masa selepas gol daripada Matt Doherty, pemain baharu Dejan Kulusevski dan Harry Kane. Serangan lewat daripada Son Heung-min berikutan hantaran tepat dari Kane melengkapkan kemenangan di Elland Road.

    Kemenangan tersebut melonjakkan Tottenham ke tangga ketujuh dalam EPL, empat mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester United dengan satu perlawanan dalam tangan ketika mereka berusaha untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

    Ia juga menceriakan mood pengurus Spurs, Conte, yang menegaskan Jumaat lalu dia komited dengan tugasnya selepas komen berikutan kekalahan mereka di Burnley pada pertengahan minggu telah menimbulkan keraguan tentang masa depannya di kelab tersebut.

    “Saya gembira untuk pemain saya,” kata Conte kepada media dalaman Spurs. “Hari ini saya meminta jawapan, bukan sahaja mengenai aspek bola sepak, tetapi terutamanya dalam watak, semangat, keinginan, kemahuan untuk berjuang dan menang perlawanan.

    “Hari ini, dalam perlawanan yang sukar – jangan lupa untuk bermain menentang Leeds di gelanggang lawan, di stadium ini, tidak mudah – untuk mendapatkan jawapan seperti ini adalah baik untuk saya.” – AFP

    Reaksi Son Heung-min dan Harry Kane meraikan gol dalam perlawanan antara Tottenham Hotspur dan Leeds United kelmarin. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda