LONDON, 9 DIS – Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou berkata pasukannya mesti menunjukkan lebih disiplin selepas mendahului 2 gol namun tewas 4-3 di laman sendiri kepada Chelsea kelmarin.
Spurs hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan dalam semua pertandingan sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan Postecoglou.
Cole Palmer menjaringkan dua gol daripada sepakan penalti pada separuh masa kedua manakala Jadon Sancho dan Enzo Fernandez menambah jaringan Blues yang kini di tempat kedua dalam Liga Perdana.
Tottenham kekal di tangga ke-11 dan kekalahan ditambah lagi dengan kehilangan bek tengah Cristian Romero yang baru kembali daripada kecederaan.
“Ia adalah (kekalahan yang) pedih dan menyakitkan,” kata Postecoglou. “Kami bermula dengan sangat baik tetapi kami kehilangan Romero selepas 20 minit dan itu sedikit mengganggu kami dan mereka menjaringkan gol selepas itu.”
Dominic Solanke dan Dejan Kulusevski turut memberikan Tottenham permulaan yang baik dalam 11 minit pertama.
Mereka kehilangan beberapa peluang apabila percubaan Pape Sarr terkena palang, manakala Solanke dan Son Heung-min turut mensia-siakan peluang semasa permainan masih seimbang.
Yves Bissouma dan Sarr pula bersalah atas cabaran melulu untuk menghadiahkan Chelsea dua sepakan penalti.
“Saya fikir kedua-dua penalti itu adalah keputusan yang tidak baik oleh kami, kami perlu menunjukkan lebih disiplin. Akhirnya saat-saat genting menghukum kami,” tambah Postecoglou.
Son mendapat satu gol pada masa kecederaan, tetapi kapten Spurs itu menerima tanggungjawab selepas dia terlepas aksi satu lawan satu dengan Robert Sanchez semasa perlawanan berada pada kedudukan 2-2.
“Rasanya seperti kami tewas kerana butiran kecil seperti ini. Di pentas yang besar begini, awda perlu beraksi dan menjaringkan gol pada saat-saat penting. Saya rasa saya telah mengecewakan pasukan dan saya amat kesal,” kata Son.
Kemenangan keempat berturut-turut dalam Liga Perdana meletakkan Chelsea empat mata di belakang pendahulu Liverpool.
Enzo Maresca, bagaimanapun, beranggapan Blues belum bersedia untuk memberi cabaran berterusan.
“Arsenal, (Manchester) City dan Liverpool mungkin tidak tergelincir seperti Cucurella,” seloroh Maresca mengaitkan insiden pemain pertahan itu yang terpaksa menukar kasut semasa permainan.
“Secara serius, kami tidak bersedia, kami jauh dari pasukan-pasukan lain tetapi kami fokus hari demi hari dan cuba memperbaiki pasukan,” ujar Maresca. – AFP