LONDON, 9 JAN – Jaringan lewat Lucas Bergvall membolehkan Tottenham menang 1-0 ke atas Liverpool dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga awal pagi tadi.
Bergvall menjaringkan gol ketika hanya tinggal empat minit di utara London, tetapi bos Liverpool, Arne Slot berang kerana pemain Sweden itu masih berada di atas padang untuk menjaringkan gol pertamanya untuk Tottenham.
Setelah dilayangkan kad kuning, pemain berusia 18 tahun itu terlepas daripada dibuang padang selepas menjatuhkan Kostas Tsimikas.
Ia adalah kekalahan pertama Liverpool dalam 24 perlawanan dalam semua pertandingan sejak tewas 1-0 kepada Nottingham Forest dalam liga pada September lalu.
Perlawanan kedua di Anfield pada 6 Februari nanti akan menentukan siapa yang layak ke final.
Postecoglou telah memberikan penampilan sulung kepada penjaga gol muda Antonin Kinsky, dengan beberapa aksi menyelamatkan gol antaranya menahan tandukan Alexis Mac Allister.
Slot pula gusar apabila penjaga gol Alisson Becker membuat kesilapan dalam kotak penalti membenarkan Bergvall mencuri bola dan memulakan serangan namun percubaan Pedro Porro tersasar.
Darwin Nunez, seorang lagi pemain gantian Slot, turut dinafikan percubaanya penyelamatan hebat daripada Kinsky.
Pada minit ke-86, Dominic Solanke menunjukkan keazaman yang mengagumkan untuk menahan Ibrahima Konate, melakukan hantaran ke laluan Bergvall yang merembat rendah melepasi Alisson.
Kinsky sekali lagi menafikan percubaan Nunez pada masa kecederaan menjadikan kemenangan milik Spurs. – AFP
