Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    SR Tutong Kem juara festival olahraga

    Oleh Salawati Haji Yahya

    TUTONG, 16 SEPT – Sekolah Rendah Tutong Kem diumumkan sebagai johan keseluruhan dalam Festival Olahraga Kanak-Kanak Sekolah Rendah Tahun 2024 bagi Kluster 5 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tutong, baru-baru ini.

    Dalam festival itu, naib johan dimenangi oleh Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang sementara Sekolah Rendah Binturan beroleh tempat ketiga.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang adalah Ketua Kluster 5, Jabatan Sekolah-Sekolah di Kementerian Pendidikan,  Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia.

    Festival olahraga berkenaan disertai oleh 196 orang murid dari 19 buah sekolah rendah di bawah anjuran Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

    Johan bagi kategori lelaki dari Sekolah Rendah Tutong Kem, sementara Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang menjadi johan kategori perempuan.

    Antara objektif festival ini adalah untuk memperkenalkan aktiviti sukan yang sesuai dengan keperluan perkembangan fizikal dan merangsang pertumbuhan kanak-kanak. Selain bertujuan untuk menarik minat kanak-kanak terhadap aktiviti pergerakan, memperkenalkan asas-asas olahraga dalam bentuk permainan, mempromosikan gaya hidup seimbang dan sihat, serta menggalakkan elemen keseronokan dalam permainan.

    Pada tahun ini, festival diadakan bagi keenam-enam kluster bermula dengan Kluster 1 yang telah diadakan pada 12 Mei, Kluster 2 pada 26 Mei, Kluster 3 pada 9 Jun, Kluster 6 pada 31 Ogos dan Kluster 4 pada 7 September yang mempertandingkan 4 acara iaitu Formula Bends, Backward Overhead Throw, Hurdles Relay dan 3 Steps Bound.           

    Aksi salah seorang peserta festival berkenaan.
    Gambar beramai peserta bersama tetamu kehormat di festival itu. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda