BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Siri jelajah budaya bertujuan dalam Ship for Southeast Asian and Japanese Youth Programme (SSEAYP) yang ke-48 telah melaksanakan aktiviti pasca program (PPA) kelmarin dengan menganjurkan Jerayawara Kebudayaan di Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMSS), Bahagian Menengah.
Acara yang mengetengahkan seni dan budaya Brunei dihadiri kira-kira 100 pelajar Tahun 8 di sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis berkenaan adalah Pengetua SMSS (Menengah), Ghazala Abdullah dan turut hadir, Presiden BERSATU (SSEAYP International Brunei), Dayang Hajah Rosmawatiniah binti PA Haji Ibrahim.
Antara acara yang diketengahkan adalah bengkel seni dan budaya interaktif seperti melipat mini dastar iaitu tudung kepala Melayu tradisional, melipat sinjang, sesi tarian, sesi bercerita hikayat rakyat tempatan, dan sesi pengajaran tentang bahasa Brunei.
Siri jelajah budaya berkenaan bertujuan untuk berkongsi pengalaman dalam SSEAYP, di samping memupuk penghargaan yang lebih tinggi terhadap seni dan budaya Brunei.
SSEAYP turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sekolah Seri Mulia Sarjana dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atas sokongan yang diberikan.
