Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suku pertama rekod 258 panggilan kecemasan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Dari Januari hingga Mac tahun ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima 258 panggilan kecemasan dengan melibatkan satu kematian akibat lemas.

    Panggilan kecemasan berkenaan adalah berkaitan dengan kebakaran hutan dan rumput, pokok tumbang, mencari orang lemas, mencari orang sesat, atap terbang dan tanah susur.

    Daripada jumlah itu, 107 panggilan mengenai pokok tumbang, 45 panggilan mengenai tanah runtuh, 24 panggilan bagi mencari orang sesat, 13 panggilan bagi bantuan mengepam keluar air dan satu panggilan mengenai kes lemas. Sementara itu, 23 panggilan kecemasan diterima bagi kebakaran hutan di mana 14.85 hektar hutan telah musnah dan 45 panggilan mengenai kebakaran rumput yang telah menjejaskan 19.24 hektar tanah.

    Statistik berkenaan telah dikongsikan semasa sidang media dipengerusikan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi D, Penguasa Kanan Bomba Muhd Shahreeni bin Haji Muhd Yussof, hari ini.

    Beliau mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam telah memasuki tempoh peralihan daripada monsun timur laut ke monsun barat daya dan dijangka berterusan sehingga hujung Mei.

    Penguasa Kanan Bomba Muhd Shahreeni ketika mengongsikan mengenai statistik panggilan kecemasan.

    Menurut Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), tambah beliau, sepanjang tempoh ini, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan untuk memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian.

    Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun ini berbanding bulan-bulan yang lain. Manakala purata hari-hari yang berhujan bagi April ialah 16 hari dan bagi Mei ialah 18 hari.

    Kenyataan menambah, sepanjang tempoh ini negara lazimnya mengalami keadaan cuaca cenderung panas pada waktu siang, tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah pada waktu pagi, manakala pembentukan awan ribut petir berlaku di waktu petang.

    Ribut petir pula kebanyakannya berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu sebelah malam hingga awal pagi.

    Oleh itu, beliau mengingatkan orang ramai dan penduduk di negara ini agar sentiasa peka dan meningkatkan lagi aspek keselamatan secara amnya.

    “Pastikan awda sentiasa peka atau mengikuti keadaan cuaca dari semasa ke semasa,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda