Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sultan Ibrahim pentingkan ketepatan masa

    JOHOR BAHRU, 7 JULAI – “Tuanku tidak suka rakyat menunggu lama ketibaan Tuanku,” kata Datuk R Sugumaran, Pegawai Peribadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim yang menyifatkan Seri Paduka Baginda amat menitikberatkan ketepatan masa.

    Menceritakan keperibadian Sultan Ibrahim, Sugumaran yang telah menabur bakti dengan Seri Paduka Baginda sejak 2003, berkata beliau tidak pernah melihat YDPA ke-17 itu tiba lewat pada setiap majlis.

    “Selama lebih 20 tahun saya berkhidmat sebagai Pegawai Peribadi Tuanku, tidak pernah saya lihat Tuanku lewat tiba pada satu-satu majlis, selalunya awal lima minit ataupun 10 minit,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di pejabat Bernama, baru-baru ini.

    Sugumaran berkata walaupun kelihatan tegas, Seri Paduka Baginda sebenarnya berhati lembut dan mudah mengasihani orang.

    “Tuanku tidak suka marah-marah kalau kita cakap ‘kasihanlah Tuanku, kita beri peluang sekali lagi’, (Seri Paduka Baginda akan bertitah) ‘okey Sugu (Sugumaran), awda buat apa yang difikirkan betul’ dan biasanya peluang akan diberi sekali lagi,” katanya.

    Selain itu, Sugumaran berkata Seri Paduka Baginda juga gemar berinteraksi dengan
    rakyat dan mendengar permasalahan mereka.

    “Pergi mana-mana pun, bila rakyat ada peluang untuk menghadap Tuanku, rakyat suka beritahu masalah yang mereka hadapi kepada Tuanku.

    “Selalunya apabila Tuanku berangkat, pegawai-pegawai kerajaan di daerah terbabit akan ada bersama dan setiap aduan segera diambil tindakan oleh pegawai-pegawai daerah,” katanya. – Bernama

    YDPA Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda