Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek bunuh harimau bintang Sri Lanka ditangkap

    COLOMBO, 24 Jun – Dua orang ditangkap kerana membunuh seekor harimau bintang di utara Sri Lanka minggu lepas, manakala polis sedang memburu beberapa suspek lain, kata polis hari ini.

    Jurucakap polis memberitahu, kedua-dua suspek adalah penduduk Killinochchi. Mahkamah pada Jumaat mengarahkan polis menjalankan siasatan dan menangkap semua yang terlibat membunuh haiwan itu Rabu lalu.

    Berikutan perintah berkenaan, polis telah mengambil bangkai harimau bintang berkenaan yang diedarkan secara meluas di media sosial untuk mengenal pasti pelaku.

    Media tempatan minggu lepas melaporkan bahawa sekumpulan penduduk kampung telah membunuh harimau dengan kejam selepas ia mencederakan sekurang-kurangnya 10 penduduk termasuk seorang pegawai hidupan liar ketika memburu lembu dan kambing.

    Penduduk kampung kemudiannya mengambil foto haiwan yang mati, sekali gus mencetuskan kemarahan di media sosial. Jabatan Hidupan Liar Sri Lanka mengutuk kejadian itu.

    Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar menyenaraikan harimau Sri Lanka sebagai haiwan terancam pada tahun 2008.

    Aktivis haiwan berkata, populasi harimau di Sri Lanka, yang tidak lebih daripada 250 ekor, merosot disebabkan beberapa faktor termasuk konflik harimau dan manusia. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda