ROSTOV-ON-DON, 18 Jun – Usaha Brazil untuk gelaran keenam Piala Dunia menerima satu tamparan apabila dikekang oleh Switzerland pada perlawanan pembukaan yang berkesudahan 1-1 di Rostov-on-Don awal pagi tadi.
Dalam perlawanan lebih awal yang menyaksikan Jerman dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada Mexico, Brazil telah menunjukkan kenapa mereka sebagai pasukan pilihan dengan dominasi separuh masa pertama, di mana ledakan luar biasa Philippe Coutinho memberikan Brazil kelebihan.
Namun, Brazil menerima padah atas kegagalan mereka ‘mematikan’ perlawanan apabila Steven Zuber menanduk kencang gol penyamaan hasil daripada sepakan percuma Xherdan Shaqiri, lima minit selepas perlawanan disambung.
Tekanan kini pada Brazil untuk menghidupkan semula kempen Piala Dunia apabila mereka bakal menghadapi Costa Rica Jumaat ini.
Coutinho telah diberikan peranan tengah di belakang Neymar, perlawanan kompetitif pertamanya selama lebih empat bulan, sementara itu Gabriel Jesus dan Willian turut disenaraikan bagi memberikan lebih banyak serangan.
Juara dunia lima kali itu dalam laluan untuk memadam kekalahan memalukan 7-1 oleh Jerman di laman sendiri
empat tahun lalu, namun kini nasib Brazil dalam bahaya jika gagal meraih keputusan yang dimahukan dalam dua perlawanan peringkat kumpulan seterusnya.
Dalam perlawanan itu, Paulinho terlepas peluang keemasan apabila usaha jarak dekatnya dikeluarkan oleh Yann Sommer.
Ia hanya menunggu masa apabila tekanan Brazil mendapatkan hasil dan jaringan pembukaan tiba dengan ledakan luar biasa pada minit ke-20.
Coutinho mendapatkan bola yang terlepas di tepi petak penalti dan melepaskan rembatan melencong melepasi jangkauan penjaga gol.
Neymar kelihatan bertenaga meskipun kurang latihan apabila kelincahannya menyebabkan Stephan Lichtsteiner, Fabian Schar dan Valon Behrami dilayangkan kad kuning.
Bagaimanapun, Brazil gagal menambah pendahuluan mereka apabila Thiago Silva dan Gabriel menyaksikan percubaan mereka tidak menemui belakang jaring.
Switzerland jarang memberikan ancaman gol sebelum gol penyamaan Zuber, yang menemui ruang di tengah barisan pertahanan untuk satu tandukan menewaskan penjaga gol.
Dalam perlawanan semalam, Serbia menewaskan Costa Rica 1-0 untuk melonjok di kedudukan teratas Kumpulan F. – AFP