Tiada niat untuk menunjuk-nunjuk, pelakon Malaysia, Syahmie Thsaqeef memberitahu dia terbuka jika perlu menayangkan badan dalam drama demi memenuhi tuntutan watak.
Syahmie atau Syahmie Thsaqeef Ariffin, 30, berkata dia sanggup melakukan perkara itu kerana mahu membuktikan kesungguhannya berada dalam industri seni.
“Ia bergantung atas dasar apa, saya bukan suka-suka tayang badan. Saya buat atas tuntutan karakter dan projek tersebut.
“Saya suka berlakon, bila dapat sahaja satu skrip sudah tentu saya akan buat sehabis baik untuk mendalami watak yang diberikan,” katanya kepada mStar.
Syahmie berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama vertikal pertama TV3 berjudul Benci Jadi Cinta yang belangsung di Sri Pentas, Bandar Utama pada Isnin.
Dalam pada itu, Syahmie turut memberitahu dia bersedia sekiranya ditawarkan melakonkan adegan daring atau panas asalkan tidak melampaui batas.
“Bagi saya, sekiranya watak tersebut akan meningkatkan mutu dan prestasi lakonan saya. Saya sanggup (adegan panas).
“Tetapi saya tetap ada batasan. Setiap manusia ada prinsip apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak,” jelasnya.
Sedar tindakan itu berkemungkinan mengundang kecaman warganet, Syahmie memilih untuk tidak ambil pusing mengenai perkara tersebut.
Baginya, sudah menjadi lumrah buat anak seni apabila segala tindak tanduk mereka menjadi perhatian ramai.
“Sejujurnya, kita buat benda baik atau buruk orang akan tetap menilai dan mengata kita. Saya tak ambil peduli apa mereka katakan.
“Kita semua adalah pendosa, tetapi tak bermakna saya terus begitu, saya percaya niat untuk berubah ke arah kebaikan itu akan datang,” ujarnya. – Agensi