Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syamer mahu Harimau Malaya menang untuk Pau

    SEPANG, 6 DIS – Pemain tengah Harimau Malaya Mohamed Syamer Kutty Abba berharap skuad Malaysia dapat mencatatkan keputusan terbaik dalam kempen Piala ASEAN 2024 sekali gus menjadikan ia sebagai hadiah perpisahan bermakna buat ketua jurulatih Pau Marti Vicente.

    Mohamed Syamer berkata pengesahan berita ketiadaan pengendali dari Sepanyol itu selepas saingan Piala ASEAN berakhir nyata memberikan impak mendalam kepada seluruh pasukan.

    “Semua orang tahu jurulatih Pau Marti sudah lama bersama dengan pasukan kebangsaan dan tentu ia beri impak kepada kami.

    “Namun, kami harap kejohanan ini akan beri hadiah perpisahan yang baik untuk dia bagi membalas segala apa yang disumbangkan kepada pasukan. Ini medan terbaik (pasukan) untuk beri sesuatu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

    Skuad Malaysia berlepas ke Phnom Penh hari ini bagi aksi pertama saingan Piala ASEAN menentang Kemboja pada Ahad.

    Semalam, Pau Marti mengejutkan arena bola sepak negara apabila mengesahkan tugasan terakhir beliau selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya ialah pada Piala ASEAN 2024 bermula 8 Disember hingga 5 Januari 2025.

    Keputusan berkenaan dibuat susulan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan penstrukturan semula pengurusan pasukan kebangsaan.

    Pada kempen Piala ASEAN 2024, Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand serta Singapura, Kemboja dan Timor-Leste manakala Kumpulan B menampilkan naib juara edisi terdahulu Vietnam serta Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.

    Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan ke pusingan separuh akhir. – Bernama

    Kapten pasukan kebangsaan, Syamer Kutty Abba bercakap kepada pemberita kelmarin sebelum berlepas ke Phnom Penh bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kemboja dalam saingan AFF Mitsubishi Electric Cup 2024, Ahad ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda