Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Brunei Startup Summit 2025 (BSS) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong telah dirasmikan pagi tadi oleh Menteri dari Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB).
Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Dato menyentuh mengenai dengan tema tahun ini iaitu Bangkit dan Berkembang: Membangun Syarikat Pemula yang Boleh Diskala dan Tahan Lasak serta Memupuk Kolaborasi yang mencerminkan visi bersama untuk membangunkan perniagaan yang inovatif dan boleh disesuaikan dengan keupayaan untuk berkembang secara mampan dalam pasaran global yang kompetitif pada masa kini.
“Dalam landskap ekonomi yang berkembang pesat ini, kebolehan untuk diskala dan ketahanan adalah penting bagi syarikat pemula yang ingin berjaya. Ketika pasaran berkembang dan cabaran global timbul, kita menyaksikan era di mana perniagaan yang gagal untuk berinovasi atau menyesuaikan diri akan ketinggalan, sementara mereka yang menerima perubahan, teknologi, dan idea baharu berada di posisi untuk kejayaan jangka panjang,” menurut beliau.
Beliau turut menyentuh mengenai dengan tren global yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang telah mengubah corak perniagaan dalam pelbagai industri melalui peningkatan kecekapan, penglibatan pelanggan serta membantu membuat keputusan yang bijak.
“Cara kita bekerja juga telah berubah selepas pandemik. Apabila model kerja hibrid menjadi norma, permintaan untuk penyelesaian kerja jauh yang meningkatkan kolaborasi, produktiviti dan kesaling hubungan terus meningkat” ujar beliau lagi.
Kerajaan mengakui bahawa membangunkan ekosistem syarikat pemula yang kukuh memerlukan lebih daripada sekadar sokongan kewangan. Di bawah Wawasan Brunei 2035, Brunei komited untuk mempelbagaikan ekonomi dengan mengutamakan pengetahuan, teknologi, dan keusahawanan.
Inisiatif yang diterajui oleh LKEB dan agensi lain mencerminkan komitmen ini dalam program-program seperti hackathon, bimbingan, peluang inkubasi dan sokongan pembiayaan yang telah membantu mewujudkan asas yang kukuh untuk syarikat pemula dalam negara.
Namun, usaha sektor awam perlu dilengkapkan dengan kerjasama dan pelaburan dari sektor swasta untuk membina ekosistem yang mampan dan berkembang. Sidang kemuncak hari ini mencerminkan semangat kolaboratif dapat menyatukan pihak berkepentingan untuk berkongsi strategi dan membina kerjasama.
BSS yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin sehinga hari ini telah disertai lebih 400 peserta daripada ekosistem keusahawanan tempatan dan serantau untuk bekerjasama dan berinteraksi.
Pagi tadi turut diadakan forum yang menampilkan Ester Widya dari Perniagaan dan Pemasaran KUMPUL, Najla Zamri dari Antler dan Kentaro Machi dari Startup Ecosystem ERIA.