Oleh Ak Zaki Kasharan, Yusrin Junaidi & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Syiar Islam terus berkembang di negara ini apabila tiga orang melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam tiga majlis pengislaman yang berasingan hari ini.
Di Daerah Brunei dan Muara, Lans Kopral Osman bin Yancha, anggota bertugas di Pasukan Simpanan Gurkha (PSG) Kementerian Pertahanan, dari Khidmat Perubatan dan Kesihatan, Unit Bantu PSG, telah melafazkan ikrar pengislaman di Surau Perkhemahan Sungai Akar.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang turut menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Timbalan Setiausaha Tetap (Kewangan dan Pentadbiran), pengarah-pengarah, komandan PSG serta ahli keluarga Lans Kopral Osman.
Lans Kopral Osman telah memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Osman bin Abdullah Yancha. Majlis pengislaman berkenaan adalah yang pertama diadakan di Surau Perkhemahan Sungai Akar dengan harapan syiar dakwah Islam akan terus bersinar dalam kalangan anggota PSG.
Sementara itu, seorang perempuan dari puak Iban, Liwany anak Linggat, 23, telah melafazkan ikrar pengislamannya pada majlis yang berlangsung di Kampung Sungai Hanching, Mukim Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, dan isteri yang turut menyampaikan cenderahati kepada saudara baharu.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri.
Dengan majlis pengislaman itu, Liwany kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Nur Liwany Daania binti Lingat.
Di Daerah Belait, majlis pengislaman seorang lelaki Dusun, Norhafzlan bin Musa, 27, telah berlangsung di sebuah kediaman di Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat.
Norhafzlan telah memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Rayyan Zhafran bin Musa.
Majlis-majlis pengislaman berkenaan turut diserikan dengan laungan Dikir Marhaban dan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan.