Saturday, January 18, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    T-Mobile, Sprint akhirnya bergabung

    SAN FRANCISCO, 2 APRIL – Operator-operator telekom Amerika Syarikat (AS), T-Mobile dan Sprint akhirnya bergabung kelmarin, menurut syarikat-syarikat itu, membawa penamatan dua tahun rundingan ketika kedua-duanya berhasrat untuk mewujudkan firma gergasi yang berupaya bersaing dengan para pemain utama sektor tersebut.

    Firma gabungan itu akan mempunyai lebih 100 juta pelanggan, meraih skala untuk bersaing bersama pesaing wayarles besar Verizon dan AT&T.

    “T-Mobile AS Inc meng-umumkan hari ini bahawa ia telah rasminya menyelesaikan gabungannya dengan Sprint Corporation untuk mewujudkan New T-Mobile…. yang akan membekalkan rangkaian transformatif 5G,” menurut T-Mobile dan Sprint dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web masing-masing.

    Mereka berkata syarikat bergabung itu akan beroperasi di bawah nama sama T-Mobile.

    New York, California dan negeri-negeri lain telah mencuba untuk menyekat gabungan itu atas dasar pecah amanah, namun keputusan mahkamah pada Februari telah membuka jalan bagi penyedia mudah alih terbesar ketiga dan keempat itu untuk melengkapkan gabungan mereka.

    Jumlah akhir transaksi tidak dinyatakan, namun T-Mobile – subsidiari Deutsche Telekom – mengusulkan AS$26 bilion pada April 2018 untuk membeli Sprint, yang dikawal oleh syarikat gergasi Jepun, SoftBank.

    Para penyokong perjanjian itu mengatakan bahawa penggabungan T-Mobile dan Sprint itu akan menghasilkan penyedia wayarles nombor tiga AS di belakang Verizon dan AT&T, dengan sumber untuk melabur dalam rangkaian 5G atau generasi kelima.

    T-Mobile berkata gabungan itu membolehkan pelaburan dirancang sekitar AS$40 bilion dalam ‘rangkaian, perniagaan dan sebagainya’ dalam masa tiga tahun akan datang dan ‘sekurang-kurangnya AS$43 bilion’ dalam nilai akan disalurkan kepada pemegang saham.

    Syarikat baharu itu telah berjanji untuk membekalkan 5G kepada 99 peratus penduduk AS dalam masa enam tahun. – AFP

    Gambar fail gabungan 30 April 2018 menunjukkan nama kedai Sprint di New York dan kedai T-Mobile di New York. T-Mobile telah mengambil alih pesaing kecilnya Sprint, bagi menubuhkan syarikat wayarles baharu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda