Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahap kesihatan lebih utama – Thinaah

    KUALA LUMPUR, 30 SEPT – Beregu wanita nombor satu negara Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah menyifatkan kesihatan lebih penting daripada cuba memburu slot beraksi pada pusingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijadual berlangsung di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember ini.

    Memandangkan Pearly masih lagi dalam proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialami di Terbuka Jepun 2022 awal bulan ini, Thinaah berkata mereka lebih rela untuk menyiapkan diri sepenuhnya bagi beraksi dalam mana-mana kejohanan daripada menggadaikan nasib beraksi dalam keadaan kurang cergas.

    “Walaupun terpaksa melepaskan beberapa kejohanan, kami sanggup lakukannya asalkan dapat kembali berada pada tahap 100 peratus bersedia.

    “Seeloknya, fokus pemulihan terlebih dahulu dan kita akan bagi yang terbaik sekiranya sudah bersedia sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

    Pearly-Thinaah ketika ini berada di kedudukan ke-11 dalam ranking Jelajah Dunia BWF.

    Hanya lapan terbaik layak ke pusingan akhir di Guangzhou.

    Dengan pengumuman BWF bahawa Terbuka China 2022 dan Terbuka Fuzhou China 2022 dibatalkan semalam, peluang tampak tipis bagi Pearly-Thinaah untuk mengum-pul mata beraksi pada pusingan akhir Jelajah Dunia BWF.

    Bukan itu sahaja, status penyertaan mereka dalam dua kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Denmark 2022 pada 18-23 Oktober diikuti Terbuka Perancis 2022 pada 25 hingga 30 Oktober ini yang masih belum pasti turut menyulitkan peluang mereka melayakkan diri ke Guangzhou.

    Pearly berkata nasib dirinya untuk beraksi pada dua kejohanan di Eropah, yang menawarkan mata dalam ranking Jelajah Dunia BWF, bergantung kepada tahap penilaian dilakukan jurulatih pada minggu depan. – Bernama

    Pemain Beregu Wanita negara Malaysia M.Thinaah menunjukkan cek replika bernilai RM23,000 yang diterimanya semasa Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Atlet Selangor di Kejohanan Sukan SEA Hanoi dan Sukan Komanwel Birmingham di Istana Alam Shah Klang, pada 6 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda