Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taklimat tentang biasiswa kerajaan Jepun

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam telah menyampaikan taklimat mengenai Biasiswa Kerajaan Jepun untuk para pemimpin sekolah dan guru pendidikan kerjaya dari sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan di Teater Kuliah 2, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) pada petang tadi.

    Ceramah disampaikan oleh Setiausaha Ketiga (PR, Hal Ehwal Kebudayaan dan Pendidikan), Maria Ozaki; PR, Hal Ehwal Kebudayaan dan Pendidikan, Dayang Noraini binti Haji Shawal; dan Penolong PR, Hal Ehwal Kebudayaan dan Pendidikan, Lim Jia Yuan.

    Turut dijemput sebagai penceramah ialah Presiden Brunei Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA), Dayang Najmina Fairuz binti Haji Abdul Latif, yang merupakan penerima biasiswa kerajaan Jepun dan telah melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di Universiti Kobe.

    Pada akhir taklimat, Pemangku Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Hajah Ameerah Hannah binti Haji Abdul Rahim menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah.

    Ceramah daripada Kedutaan Jepun, inisiatif Unit Pendidikan Kerjaya itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peluang biasiswa yang tersedia untuk rakyat Brunei Darussalam yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

    Menurut Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, kira-kira 130 rakyat Brunei menerima Biasiswa Kerajaan Jepun yang berprestij sejak 1987.

    Gambar ramai semasa taklimat di Teater Kuliah 2, STPRI kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JABATAN SEKOLAH-SEKOLAH
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda