Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanam pokok semai kesedaran perubahan iklim

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya golongan pelajar mengenai kepentingan menanam pokok sebagai salah satu usaha untuk menangani perubahan iklim, anak-anak pokok buah pelbagai jenis telah diserahkan dalam Majlis Penyerahan Anak Pokok Buah Sumbangan Green Brunei dan Mitsubishi Corporation (Brunei Liaison Office) di Kebun Tang Salangan, Jalan Tungku, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penanaman anak-anak pokok pada majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang juga merupakan pengerusi Green Brunei.

    Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Kampung Tungku dan Katok, Haji Ismail bin Haji Rajab; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Haji Badar bin Haji Ali; dan Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Haji Sufri bin Pengiran Haji Hashim.

    Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Skip Samsuddin bin Haji Ahmad dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada Green Brunei dan Mitsubishi Corporation yang menyerahkan lebih 100 anak pokok buah pelbagai jenis untuk ditanam di tapak Kebun Tang Salangan yang terdiri daripada ahli-ahli pengakap dari keempat-empat daerah.

    Majlis diteruskan dengan penyerahan anak-anak pokok buah kepada para pekebun oleh Wakil Negara bagi Mitsubishi Corporation (Brunei Liaison Office), Tadashi Hara dan Timbalan Pengurus Am Mitsubishi Corporation (Brunei Liaison Office), Hirakoba Takeshi di mana sebanyak 50 anak-anak pokok pelbagai jenis telah diserahkan kepada para pekebun.

    Sumbangan itu merupakan salah satu inisiatif di bawah projek Jelajah Alam Sekitar anjuran Green Brunei dengan kerjasama Mitsubishi Corporation bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya para pelajar mengenai pentingnya menanam pokok sebagai salah satu usaha untuk menangani perubahan iklim.

    Menurut Yang Berhormat Dayang Khairunnisa, projek itu melibatkan penyertaan lebih 1,600 orang pelajar dan orang ramai seluruh negara di mana penyertaan daripada PPNBD khususnya Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara dan akan dapat membantu untuk menguatkan lagi penglibatan para belia terutamanya melalui ahli-ahli pengakap tunas, muda, remaja, pengakap kelana dan adult in scounting supaya lebih menghargai alam sekitar.

    PPNBD sentiasa menggunakan pendidikan sebagai platform untuk melibatkan dan mendidik pelbagai pihak yang berkepentingan khususnya ahli-ahli pengakap dalam memupuk nilai-nilai murni di antaranya pemuliharaan alam sekitar dan semula jadi dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti yang berbeza yang menyumbang ke arah pemuliharaan sumber semula jadi.

    Yang Berhormat Dayang Khairunnisa menanam anak pokok semasa acara tersebut.
    Wakil Mitsubishi Corporation menyerahkan anak pokok kepada penerima.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda