SEOUL, 27 Jun – Korea Utara sedang giat menjalankan penambahbaikan di kemudahan penyelidikan nuklearnya, kata seorang pemerhati hari ini, walau selepas mengisytiharkan komitmen untuk menghentikan program senjata nuklear di semenanjung itu pada sidang kemuncak Singapura baru-baru ini.
Sebelum ini, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berjanji untuk ‘berusaha ke arah’ matlamat menamatkan program berkenaan pada sidang kemuncak bersejarah dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada awal bulan ini.
Namun persidangan yang berlangsung di Singapura itu gagal menjelaskan definisi penamatan program nuklear dengan jelas atau menetapkan garis masa tertentu untuk memusnahkan senjata atom Utara.
Trump mendakwa proses itu akan bermula secepat mungkin, sambil berkata minggu lalu bahawa ‘ia akan menjadi gencatan program nuklear sepenuhnya, yang sedang berjalan ketika ini’.
Namun, imej satelit baru-baru ini menunjukkan bukan saja operasi di tapak ujian nuklear utama Yongbyon berjalan seperti biasa, malah ia turut menjalankan kerja membabitkan infrastruktur, kata laman web 38 North.
“Imej satelit komersil sejak 21 Jun menunjukkan berlaku penambahbaikan infrastruktur yang pesat di Pusat Penyelidikan Saintifik Nuklear Yongbyon,” katanya.
Ia berkata, wujud ‘operasi berterusan’ di kilang pengayaan uranium Utara dan beberapa binaan baharu di tapak berkenaan termasuk sebuah pejabat kejuruteraan dan laluan masuk ke sebuah bangunan yang menempatkan sebuah reaktor nuklear.
Tetapi operasi berterusan di kilang itu ‘tidak boleh dilihat sebagai mempunyai hubungan dengan ikrar Korea Utara untuk menghentikan program senjata nuklearnya’, tambahnya.
Pegawai nuklear boleh ‘dijangka meneruskan aktiviti seperti biasa sehingga pesanan tertentu dikeluarkan dari Pyongyang’, katanya.
Bulan lepas Utara meletupkan tapak ujian nuklearnya di Punggyeri di mana ia telah mengadakan enam ujian atom dalam menunjukkan tanda muhibah sebelum sidang kemuncak itu berlangsung.
Namun Pyongyang merahsiakan mengenai isu menghentikan program nuklearnya sejak sidang kemuncak itu, walaupun media negara telah mengurangkan propaganda terhadap AS, yang telah lama digelar sebagai ‘musuh imperialis’. – AFP