Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN –“Pengajaran dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Islam, terjadinya pada malam hari, di mana Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melakukan perjalanan malam dari Masjidil Haram di Makkah (Israk) menuju Masjidil Aqsa di Palestin, lalu naik ke langit (Mikraj) menuju ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dan Kemuncak kepada peristiwa inilah Allah SWT memfardhukan solat 5 waktu ke atas umat Nabi Muhammad SAW.”
Perkara ini antara yang dikongsikan dalam tazkirah bertajuk Israk dan Mikraj Sebagai Sumber Inspirasi Dalam Kehidupan yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang sempena Program Masjidku Makmur, Negara Berkat yang diadakan awal pagi tadi bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Hadir sama pada program tersebut ialah pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama. Program dimuatkan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah dan bacaan wirid.
Program berkenaan diadakan bagi mengajak orang ramai untuk menghadirkan diri bagi bersama-sama memakmurkan masjid secara istiqamah dalam mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu yang sebagaimana kita ketahui bahawa mendirikan sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara persendirian.
Program tersebut juga memberikan peluang dan kemudahan kepada orang ramai dengan terlebih dahulu meraih keberkatan dengan memakmurkan rumah Allah, menunaikan tuntutan sembahyang fardhu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang, sebelum mereka memulakan langkah dengan keceriaan untuk aktiviti beriadah di hujung minggu.