Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Hari Kanser Sedunia disambut setiap tahun pada 4 Februari dan tahun ini sambutan Hari Kanser Sedunia membawa tema baharu untuk tahun 2025 hingga 2027 iaitu Bersatu dengan Keunikan yang menekankan kepentingan menerima kepelbagaian, keunikan individu dan kerjasama dalam menangani penyakit kompleks tersebut.
Tema juga menekankan kepentingan penjagaan peribadi, memastikan rawatan disesuaikan dengan keadaan khusus para pesakit kanser termasuk People-Centered Care yang memberi tumpuan kepada pesakit secara keseluruhan, bukan hanya pesakit tetapi juga mengutamakan kesejahteraan fizikal, emosi, sosial dan psikologi pesakit dan keluarga mereka.
Perkara ini antara yang dijelaskan dalam tazkirah ilmiah bertajuk Hari Kanser Sedunia disampaikan oleh Ketua Unit Onkologi Perubatan dan Penjagaan Paliatif, Konsultan Onkologi, Pusat Kanser Brunei, Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Dr Haji Awang Mohamad Zulkhairi bin Haji Awang Mohamad, bersempena Hari Kanser Sedunia 2025 semasa program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU) kali ke-172 malam tadi.
Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Dr Haji Awang Mohamad Zulkhairi dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok.
Turut mengimarahkan acara tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pegarah Dato Paduka Haji Othman.
Hadir sama ialah para pegawai dan kakitangan Pusat Kanser Brunei, JPMC dan Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan; para siswa dan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB); ahli jawatankuasa takmir dan jemaah Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Masjid Kampung Tanah Jambu serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat yang berjumlah 65 buah dari seluruh negara.
Juga menyertai acara tersebut ialah warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Siswa Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, Tahun 2, ITQSHHB, Awang Muhamad Faiz Najwan bin Muhamad Saleh dari Musolla ITQSHHB.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Guru Ugama Tingkat II, Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan, Haji Mohammad Azmi bin Haji Tapau dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Selesai tazkirah ilmiah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Pelajar Tahun 10, ITQSHHB, Awang Muhammad Ishqal Ezairy@Abdul Mateen bin Mohammad Shahruni.
Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Mohd Saifullah bin Rosli dari Masjid Kampung Tanah Jambu.
Orang ramai dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P3-1A_10022025.jpg)