Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknik betul tangkap dan lepas

    Oleh Raz AS

    Amalan tangkap dan lepas merupakan amalan yang dipraktikkan oleh pemancing-pemancing rekreasi di mana selalunya setelah ikan berjaya dinaikkan, ukuran atau berat ikan akan diambil dan diabadikan di dalam gambar sebagai kenangan, dan dengan pantas ikan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

    Amalan mulia ini merupakan salah satu kaedah yang diperkenalkan demi kemampanan stok ikan dengan mengelakkan tangkapan ikan secara berlebihan disebabkan meningkatnya populasi manusia, tekanan terhadap ekologi, kaedah menangkap ikan yang semakin efektif, kekurangan undang-undang dan peraturan perikanan serta degredasi habitat.

    Sekiranya awda merupakan pemancing yang mengamalkan amalan tangkap dan lepas, awda perlulah peka akan faktor keselamatan ikan dan melakukan teknik-teknik mengendalikan ikan dengan betul demi meningkatkan peluangnya untuk hidup.

    Bukan sekadar asal campak kembali ke dalam air, kerana tidak semua spesies ikan itu mempunyai daya tahan yang tinggi sehingga awda berfikir awda boleh mengolahnya sesuka hati asal ia kembali ke tempat asalnya.

    Perjuangan seorang pemancing yang mengamalkan tangkap dan lepas tidak hanya setakat pertarungan dengan ikan sahaja, cabaran sebenar bermula ketika proses menaikkan ikan sehinggalah ia dilepaskan kembali dengan selamat.

    Untuk melepaskan ikan kembali ke dalam air dengan cara yang betul, lebih-lebih lagi ikan yang letih setelah pertarungan selamkan badan ikan, jangan terus lepaskan dari tangan. – Agensi
    Jangan sesekali menyentuh atau mengangkat ikan melalui bahagian insangnya, perbuatan ini boleh mengakibatkan kecederaan pada alat pernafasan ikan dan menyebabkannya mati. – Agensi

    Bagi ikan-ikan kecil bolehlah diangkat terus ke dalam bot, manakala untuk ikan bersaiz besar gunakan siut untuk mendaratkan. Bagi ikan yang mempunyai gigi atau duri yang tajam juga sebaiknya menggunakan siut bagi keselamatan diri sendiri.

    Rawa siut yang dibuat daripada getah atau silikon adalah lebih selamat digunakan untuk ikan berbanding rawa yang diperbuat daripada tali atau benang.

    Permukaan rawa yang kasar dan ikatan-ikatan pada rawa dapat merosakkan sisik, mata dan sirip ikan.

    Letakkan ikan di atas tikar, alas atau permukaan licin, tidak panas dan sentiasa basah untuk melindungi lapisan bendalir pada badannya. Jangan sekali-kali meletakkan ikan di atas permukaan kesat seperti di atas tanah, pasir, atau lantai bot yang kering dan panas akibat pancaran cahaya matahari. Lapisan ini bukan sahaja melindungi badan dan sisik ikan bahkan juga melindunginya daripada serangan penyakit dan parasit.

    Lakukan proses melepaskan mata kail tanpa berlengah. Sekiranya mata kail ditelan jauh ke dalam, kaedah terbaik adalah untuk memotongkan sahaja tali pancing sependek mungkin. Menurut kajian, memotong tali berbanding melepaskan mata kail yang ditelan dalam akan meningkatkan peluang hidupnya daripada 12 peratus ke 80 peratus, manakala lebih 70 peratus mata kail yang ditelan ikan akan terlepas dan dimuntahkan dalam masa tiga minggu.

    Jika mahu, setelah itu awda boleh mengambil sukatan panjang atau berat dan gambar secepat mungkin untuk rekod peribadi awda. Jangan terlalu banyak bergaya ketika bergambar sehingga memakan masa lama, jangan juga ikan tersebut berpindah-pindah tangan dengan rakan-rakan yang ingin ‘menyamar’ dengan tangkapan awda.

    Sebelum itu, basahkan tangan atau sarung tangan awda terlebih dahulu, untuk ikan bersaiz kecil boleh diangkat dengan meletakkannya di atas telapak tangan atau bahagian perutnya di atas telapak tangan awda. Pegang dengan erat bagi mengelakkannya terjatuh dan terhempas ke lantai, tetapi jangan digenggam kuat kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan dalaman kepada ikan tersebut.

    Bagi ikan bersaiz besar pula pegang bahagian bawah perutnya dan tangan yang satu lagi di bahagian ekornya. Sekiranya awda menggunakan alat lip gripper, pegang bahagian belakang perutnya bagi menyokong badan ikan tersebut. Elakkan mengangkat ikan besar secara menegak atau menggantungnya, tidak kiralah dengan memegang dari mulut atau ekornya, ia boleh merosakkan tulang ekornya atau rahangnya disebabkan tidak dapat menampung berat badannya sendiri di luar air.

    Jangan sekali-kali menyentuh atau mengangkat ikan melalui bahagian insangnya. Awda mungkin ingin nampak ‘rugged’ dalam gambar atau video namun hakikatnya perbuatan ini boleh mengakibatkan kecederaan pada alat pernafasan ikan dan menyebabkannya mati.

    Untuk melepaskan ikan kembali ke dalam air dengan cara yang betul, lebih-lebih lagi ikan yang letih setelah pertarungan selamkan badan ikan, jangan terus lepaskan dari tangan. Hanya lepaskan apabila ia sudah ada tanda-tanda kuat sedikit atau biarkan saja ia berenang sendiri dari tangan awda.

    Sekiranya ikan tersebut dalam keadaan lemah akibat pertarungan panjang atau awda mengendalikannya terlalu lama lakukan bantuan pernafasan dengan perlahan-lahan menggerakkan badannya ke depan dan ke belakang berulang kali atau hadapkan kepalanya melawan arus agar air dapat bergerak melalui insangnya.

    Bagaimanapun bagi spesies keluarga trevally seperti ikan putih, languran, bemasa dan seumpamanya, teknik terbaik untuk melepaskannya adalah dengan menjunamkannya terus ke dalam air dari arah kepala dahulu. Spesies ini jarang berhenti berenang oleh itu pergerakan air yang laju ke dalam insangnya dapat membantu.

    Akan tetapi awda juga boleh memegangnya dengan lip gripper dan menundanya dengan kayak atau perahu dengan perlahan secara berterusan sehingga ia sedia untuk dilepaskan. Teknik yang sama juga boleh dipraktikkan bagi spesies layaran dan mersuji, dengan memegang paruhnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda