Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi global beralih kepada kemahiran bakat India

    MUMBAI – Ketua Pegawai Eksekutif Twitter baharu, Parag Agrawal merupakan alumni terbaharu universiti teknikal berprestij India yang dilantik untuk mengetuai firma teknologi Amerika Syarikat (AS) bernilai berbilion dolar, dan Shivani Nandgaonkar mahu mengikut jejaknya.

    Pelajar berusia 22 tahun di Institut Teknologi India Bombay, almamater Agrawal telah diambil oleh Google untuk menjadi salah satu daripada ribuan graduan IIT di syarikat teknologi utama AS.

    “Apabila saya mendengar tentang Parag, saya sangat gembira,” katanya. “Seorang bekas pelajar IIT juga Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai. Jadi ini adalah batu loncatan saya sekarang.”

    Agrawal dari Twitter ialah ketua eksekutif termuda dalam S&P 500 yang baharu berusia 37 tahun. Seperti Ketua Pegawai Eksekutif Alphabet, Sundar Pichai, 49, dia meninggalkan India selepas ijazah IITnya untuk melanjutkan pengajian di AS sebelum bekerja di beberapa syarikat AS.

    Warga India lain di kedudukan teknologi korporat tertinggi termasuk Arvind Krishna dari IBM dan Nikesh Arora dari Palo Alto Networks — kedua-duanya alumni IIT bersama Satya Nadella dari Microsoft dan Shantanu Narayen di Adobe.

    Shivani Nandgaonkar, pelajar Institut Teknologi India (IIT) Bombay, ketika ditemui pemberita. – AFP
    Kelihatan para pelajar menghadiri kelas di kampus IIT Bombay di Mumbai. – AFP
    Seorang pelajar berjalan keluar dari bangunan jabatan sains komputer dan kejuruteraan di dalam kampus IIT. – AFP

    Eksekutif dan pakar mengatakan di luar saiz negara Asia Selatan yang besar, fenomena ini disebabkan oleh pelbagai faktor pendorong dan set kemahiran termasuk budaya penyelesaian masalah, bahasa Inggeris dan kerja keras tanpa henti.

    Graduan IIT dan pengasas bersama Sun Microsystems, Vinod Khosla percaya selepas berkembang dengan berbilang komuniti, adat resam dan bahasa, orang India mempunyai keupayaan untuk ‘menavigasi situasi yang rumit’.

    “Persaingan pendidikan di India dan huru-hara masyarakat membantu mengasah kemahiran mereka di samping pendidikan teknikal yang ketat di IIT,” kata pemodal jutawan itu kepada AFP.

    Silicon Valley memerlukan pakar teknikal, mengurus komuniti yang pelbagai dan keusahawanan dalam menghadapi ketidakpastian daripada eksekutif tertingginya.

    “Dalam inovasi, awda perlu boleh melanggar peraturan, awda tidak merasa takut. Dan… awda tidak boleh bertahan sehari di India tanpa perlu melanggar satu peraturan atau yang lain atau berurusan dengan birokrasi atau rasuah yang tidak cekap,” kata ahli akademik India-Amerika Vivek Wadhwa.

    “Kemahiran itu sangat berguna apabila awda membuat inovasi di Silicon Valley, kerana anda perlu sentiasa mencabar pihak berkuasa.”

    Dan mereka sangat berharga: syarikat gergasi, Uber pada bulan ini menawarkan pelajar IIT Bombay pakej tahun pertama sebanyak AS$274,000 untuk pekerjaan di AS. Peraduan untuk hadiah sebegitu bermula lebih awal di negara yang mempunyai lebih 1.3 bilion penduduk dengan tumpuan yang lama terhadap pendidikan.

    IIT dilihat sebagai universiti terkemuka di India, dan lebih daripada satu juta pelajar memohon setiap tahun untuk hanya 16,000 tempat. Selama satu setengah tahun, Nandgaonkar belajar sehingga 14 jam sehari, tujuh hari seminggu. Beberapa pelajar lain memulakan persiapan pada usia 14 atau 15 tahun, tambahnya.

    “Bayangkan mempunyai pintu masuk 10 kali lebih sukar daripada MIT dan Harvard. Itulah IIT,” kata Wadhwa. “Jadi ia adalah tarikan negara.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda