Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teknologi sonar bantu operasi pencarian

    SIMALUNGUN, Indonesia, 22 Jun – Pihak berkuasa Indonesia hari ini beralih kepada teknologi sonar yang canggih untuk mencari mangsa nahas feri di salah satu tasik yang terdalam di dunia.

    Peralatan yang dipinjam dari angkatan tentera laut Indonesia itu diharapkan oleh pasukan penyelamat akan membantu dalam pencarian feri yang tenggelam di Tasik Toba, tempat destinasi pelancongan yang indah di Sumatra.

    Hanya tiga penumpang yang telah disahkan maut setakat ini, manakala 18 yang lain berjaya diselamatkan.

    Namun menurut anggaran rasmi yang dikeluarkan, seramai 193 penumpang termasuk kanak-kanak dalam feri tersebut yang dilaporkan hilang, menimbulkan kebimbangan bahawa kebanyakan mangsa terperangkap di dalam feri tersebut.

    Kemalangan itu boleh menjadi salah satu bencana maritim paling dahsyat di Indonesia.

    Walaupun operasi pencarian secara besar-besaran melibatkan kira-kira 400 kakitangan telah dijalankan selama empat hari, kapal malang itu masih lagi belum ditemui.

    Tasik Toba, yang memenuhi kawah gunung berapi yang meletup dalam letusan besar beribu-ribu tahun lalu, adalah sedalam 500 meter dan telah menghalang usaha pencarian dijalankan.

    Manakala, tasik itu pula meliputi kira-kira 1,145 kilometer persegi.

    Peralatan canggih teknologi sonar yang menggunakan denyutan bunyi untuk mengesan objek di dalam air, yang diperkenalkan dalam pencarian ini dikatakan akan melancarkan lagi operasi pencarian di lantai tasik tersebut, menurut pihak berkuasa.

    “Kami menyasarkan pencarian kapal itu sedalam 500 meter,” kata seorang pegawai bagi agensi pencarian dan penyelamatan Indonesia, Budiawan – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda