Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Setiap tahun sebelum menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri, ramai di kalangan penduduk di negara ini akan menghantar kain mereka ke beberapa kedai jahit sebagai persediaan menjelang Sambutan Hari Raya bagi umat Islam di negara ini.
Pada kelazimannya kurang dua bulan sebelum menjelangnya bulan Syawal, kebanyakan kedai-kedai jahit akan mula menutup tempahan disebabkan permintaan yang begitu banyak daripada para pelanggan mereka.
Walau bagaimanapun hal ini berlainan pada tahun ini apabila pihak media membuat tinjauan ke beberapa buah kedai jahit di negara ini mendapati masih banyak kedai jahit yang membukakan tempahan mereka.
Salah seorang pekerja dari kedai jahit yang terletak di Kampung Jerudong semasa ditemui menjelaskan bahawa pada tahun ini tempahan menjahit baju kelihatan berkurangan berbanding pada tahun-tahun sebelumnya sama ada tempahan bagi menjahit baju kurung mahupun baju cara Melayu yang selalunya.
Beliau tidak menyangkal mungkin ia adalah berkaitan dan disebabkan wabak COVID-19 yang sedang berlaku di negara ini. Walau bagaimanapun beliau berharap agar wabak tersebut dapat berakhir dengan cepat dan semua orang dapat menjalankan kehidupan seperti biasa.
“Meskipun begitu, Alhamdulillah kami masih menerima beberapa tempahan bagi sambutan Hari Raya sungguh pun tidak sebanyak pada tahun sebelumnya,” jelas tukang jahit itu lagi.
Selain itu beliau turut menjelaskan bahawa kemungkinan besar pada tahun ini mereka tidak akan menutup tempahan baju lebih awal dan mungkin akan melanjutkan tempahan sehinggalah menjelangnya Hari Raya Aidilfitri.
