Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Syria lancar serangan

    DARAA, Syria, 27 Jun – Tentera Syria melancarkan serangan di bandar selatan Daraa semalam menurut media negara, selepas mula melancarkan pengeboman maut seminggu lalu berhampiran kawasan luar bandar menyebabkan pemindahan besar-besaran.

    Pasukan kerajaan telah menyasarkan untuk merampas semula kawasan selatan negara itu, sebuah kawasan strategik yang bersempadan dengan Jordan dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.

    Peningkatan serangan terhadap para pemberontak pada minggu lalu adalah yang terbaharu dalam kempen yang disokong oleh Rusia untuk mengambil semula wilayah yang dirampas sejak permulaan perang Syria pada tahun 2011.

    Selama seminggu, pasukan rejim telah melancarkan pengeboman mereka di kawasan luar bandar di wilayah selatan Daraa, yang menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah memaksa 45,000 orang melarikan diri.

    Namun semalam, media negara menyatakan bahawa tentera kerajaan telah melancarkan ‘operasi’ di bandar wilayah itu, yang dikenali sebagai benteng bagi kumpulan pemberontak selama tujuh tahun.

    Kepulan asap tebal di bandar Daraa akibat serangan peluru berpandu tentera rejim Syria ke atas benteng pemberontak pada 26 Jun 2018. – AFP

    Balai Cerap untuk Hak Asasi Manusia, kumpulan pemerhati perang yang berpangkalan di Britain, mengatakan ia merupakan operasi pertama di dalam bandar terbabit sejak peningkatan serangan mula dilancarkan.

    “Pasukan rejim menyasarkan bandar Daraa dengan lebih daripada 15 peluru berpandu dan serangan udara Rusia dan Syria terus dilancarkan,” kata Balai Cerap itu.

    Koresponden AFP di pinggir selatan bandar Daraa berkata dia dapat melihat kepulan asap besar di bandar itu dan dua pesawat perang mengelilingi kawasan itu ketika serangan udara dilancarkan.

    Televisyen negeri melaporkan: “Tentera Syria melancarkan serangan udara yang disasarkan terhadap kedudukan dan kubu pengganas di Daraa.”

    Agensi berita kerajaan SANA berkata serangan itu adalah serangan permulaan ‘sebelum unit tentera bergerak ke bahagian tenggara bandar itu’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda