Thursday, November 21, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terima sumbangan buku, Sudut Filipina dirasmi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Bagi memperingati ulang tahun hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina ke-40, Kedutaan Republik Filipina telah menyerahkan sumbangan buku ke Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam majlis yang berlangsung di Kompleks Perpustakaan UTB, hari ini.

    Majlis yang mengetengahkan hubungan kebudayaan dan pendidikan yang kukuh di antara kedua-dua buah negara itu, dihadiri oleh Duta Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio dan Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah wakil dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan serta pegawai-pegawai utama, kakitangan dan pelajar-pelajar UTB.

    Dalam kata alu-aluannya pada majlis itu, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah menyatakan sumbangan lebih 50 buah tajuk berkenaan, meliputi pelbagai subjek termasuk sejarah, budaya, seni bina, pelancongan dan kesenian.

    Beliau menambah buku-buku berkenaan akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, fakulti dan masyarakat dengan memupuk kefahaman serta penghargaan yang lebih mendalam warisan luar biasa Filipina.

    PYT Marian Jocelyn Tirol-Ignacio menyampaikan sumbangan buku kepada Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah pada majlis yang berlangsung di Kompleks Perpustakaan UTB, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sumbangan itu, bukan sahaja mencerminkan komitmen pihak kedutaan dalam mengukuhkan hubungan pendidikan tetapi juga mengeratkan lagi ikatan persahabatan di antara kedua-dua buah negara.

    Sementara itu, PYT Marian Jocelyn Tirol-Ignacio dalam kata alu-aluannya menekankan kepentingan memupuk kesedaran, kefahaman dan menghargai kepelbagaian budaya dalam mempromosikan perpaduan dalam ASEAN.

    Beliau merakamkan harapan Sudut Filipina berkenaan akan menjadi sebagai jambatan kebudayaan yang membolehkan warga Brunei untuk menerokai warisan Filipina sambil memajukan usaha untuk meningkatkan kesedaran ASEAN.

    Majlis diteruskan dengan perasmian Sudut Filipina dengan penyerahan buku sumbangan oleh PYT Marian Jocelyn Tirol-Ignacio kepada Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah.

    Koleksi berkenaan termasuk buku-buku mengenai sejarah Filipina, budaya, sastera dan pengajian alam sekitar yang menawarkan peluang kepada komuniti UTB untuk menyelami warisan kaya Filipina.

    Inisiatif itu menggariskan persahabatan berkekalan antara Filipina dan Brunei, mengesahkan lagi nilai-nilai bersama menghargai kebudayaan, pertukaran ilmu pengetahuan dan solidariti serantau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda