STOCKHOLM, 30 MEI – Seorang wanita Sweden berusia 103 tahun semalam memecah rekod dunia untuk orang paling tua yang berjaya menamatkan terjunan menggunakan payung terjun bersama, berkata dia merancang meraikannya ‘dengan makan kek.’
“Amat menyeronokkan dapat melakukannya, saya telah memikirkannya untuk masa yang lama,” beritahu Rut Larsson kepada agensi berita Sweden TT, sambil menambah: “Segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancang.”
Dengan ahli keluarga dan kawan menunggu di padang terbang di bawah, Larsson menamatkan terjunan bersama ahli payung terjun Joackim Johansson di Motala, 240 kilometer dari barat daya Stockholm.
Pasangan itu meluncur turun dan mendarat dengan selamat, ketika pembantu bergegas membantu Larsson untuk bangun.
Ketika ditanya apa yang dilihat dan perasaannya ketika dia turun, Larsson menjawab: “Sekarang ini saya tidak nampak dengan begitu jelas, tetapi saya berasa amat teruja.”
Menurutnya, dia suka ‘apabila dapat meluncur turun perlahan-lahan dari atas, saya rasa ia sungguh seronok.”
Seorang pegawai daripada Buku Rekod Dunia Guinness berada di sana untuk mencatat terjunan berkenaan.
Larsson, yang berusia 103 tahun dan 259 hari, mengatasi rekod sebelumnya pada 103 tahun dan 181 hari. – AFP