BANGKOK, 22 JAN – Thailand memuat naik video yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra bercakap dalam bahasa Mandarin, bertujuan menggalakkan pelancong China mengunjungi negara itu, meskipun terdapat laporan berhubung insiden penculikan di kawasan sempadan Thailand-Myanmar.
Dalam klip video yang disiarkan di laman Facebook rasmi kerajaan, imej AI Paetongtarn muncul bercakap fasih dalam bahasa Mandarin, walaupun beliau tidak menguasai bahasa itu dalam kehidupan sebenar.
“Saya memahami bahawa laporan baru-baru ini mengenai rakyat China yang diumpan ke kawasan penipuan di sekitar sempadan Thailand telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelancong China. Kerajaan Thailand menjadikan keselamatan semua pelancong sebagai keutamaan,” kata imej AI Paetongtarn dalam video tersebut.
Thailand sedang berusaha meredakan kebimbangan keselamatan dalam kalangan pelancong China menjelang musim perjalanan sempena cuti Tahun Baharu Cina, susulan laporan berhubung penculikan di kawasan sempadan Thailand-Myanmar.
Menurut laporan, kawasan penipuan yang beroperasi di sempadan Myanmar menggunakan warga asing yang sering menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja dalam industri penipuan siber yang bernilai berbilion dolar.
Kebimbangan semakin memuncak selepas laporan mendakwa dua selebriti muda China menjadi mangsa perdagangan manusia ke pusat penipuan siber di Myanmar melalui Thailand awal bulan ini.
Insiden itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet China yang menyifatkan Thailand sebagai ‘lokasi berbahaya.’
Dalam video itu, imej AI Paetongtarn menjelaskan kerajaan Thailand sedang meningkatkan langkah keselamatan dan membanteras jenayah rentas negara.
Pada awal klip, imej AI Paetongtarn yang tangannya kelihatan cacat pada beberapa saat – turut menjelaskan bahawa video itu dihasilkan menggunakan teknologi AI. – AFP