BANGKOK, 28 JAN – Pihak berkuasa Thailand sedang bertungkus-lumus membersihkan segera tumpahan minyak mentah yang disebabkan oleh kebocoran saluran paip dasar laut di luar pantai Rayong.
Terkini, 10 kapal tambahan dikerahkan untuk mengawal tumpahan minyak selepas kira-kira 160,000 liter minyak bocor daripada saluran paip dasar laut kira-kira 20 kilometer (km) ke tenggara Kawasan Perindustrian Map Ta Phut.
Selain itu, bot-bot nelayan di sekitar juga meletakkan penahan (boom) untuk mengawal tumpahan minyak daripada merebak sampai ke Taman Negara Moo Koh Samet-Khao Laem Ya. Kebocoran pada saluran paip milik Star Petroleum Refining Public Company Limited (Star Petroleum) berlaku kira-kira jam 9 malam waktu tempatan pada Selasa lalu.
Star Petroleum berkata kebocoran minyak itu berlaku di satu bahagian pelantarnya iaitu jeti terapung di luar pesisir yang digunakan oleh kapal tangki petroleum bagi memindahkan minyak mentah untuk ditapis di kawasan perindustrian. – Bernama
