Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thaksin dibebaskan dengan ikat jamin

    BANGKOK, 18 JUN – Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan dengan ikat jamin 500,000 baht oleh Mahkamah Jenayah hari ini, selepas beliau didakwa secara rasmi kerana menghina monarki dan tuduhan berkaitan jenayah komputer berkaitan komen yang dibuat semasa temu bual pada 2015.

    Mahkamah berkata Thaksin telah menafikan semua pertuduhan dan memohon ikat jamin kerana faktor usia.

    “Selepas dipertimbangkan, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak 500,000 baht dan Thaksin dilarang melakukan perjalanan ke luar negara. Mahkamah juga menetapkan 19 Ogos untuk pendengaran praperbicaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jurucakap Pejabat Peguam Negara (OAG) berkata Thaksin melapor diri kepada pendakwa raya hari ini dan dibawa ke Mahkamah Jenayah untuk pendakwaan dalam kes lese-majeste itu.

    Jurucakap itu berkata Pendakwa Raya bagi Kes Jenayah Bahagian 8, sebagai pendakwa utama yang ditugaskan oleh peguam negara, telah memfailkan pertuduhan terhadap Thaksin di Mahkamah Jenayah mengikut dakwaan berkenaan.

    Artikel 112 Kanun Jenayah Thailand, juga dikenali sebagai undang-undang lese-majeste membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan.

    Menurut media Thailand, Thaksin, 74, dituduh memfitnah monarki itu semasa temu bual dengan akhbar Korea Selatan Chosun Ilbo pada 21 Mei 2015. Dalam temu bual itu, beliau didakwa mendakwa ahli majlis privy menyokong rampasan kuasa 2014 yang menggulingkan kerajaan adik perempuannya, Yingluck Shinawatra.

    Bulan lepas, OAG mengumumkan keputusannya untuk mendakwa Thaksin, yang sedang parol pada masa itu. Pendakwaan pada mulanya ditetapkan untuk tarikh yang lebih awal tetapi ditangguhkan hari ini kerana Thaksin dilaporkan dijangkiti COVID.

    Thaksin adalah pemimpin politik paling popular dalam sejarah Thailand. Beliau berada dalam buangan selepas rampasan kuasa tentera pada September 2006 dan menghadapi beberapa tuduhan rasuah. – Bernama

    Thaksin melambai ketika dia keluar dari salon kecantikan di Bangkok pada 5 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda