Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak bermakna jika tewas – Dalic

    ST PETERSBURG, 28 Jun – Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic mengingatkan barisan pemainnya bahawa tidak ada sesiapa yang akan mengingati permulaan hebat mereka pada Piala Dunia Rusia jika tewas kepada Denmark di peringkat 16 terakhir Piala Dunia, awal pagi Isnin depan.

    Kemenangan 3-0 ke atas Argentina selain kejayaan membenam Nigeria dan Iceland dalam Kumpulan D membolehkan skuad kendalian Dalic mara ke pusingan kalah mati dengan maksimum sembilan mata.

    Namun, Croatia melakukan permulaan yang sama hebat pada Euro 2016, menewaskan Sepanyol untuk mengetuai kumpulan namun tewas kepada Portugal selepas itu.

    “Ia hebat untuk buku sejarah di Croatia namun jika kita tidak menang berdepan Denmark, apabila seseorang bertanya apa yang anda lakukan, apa yang anda boleh katakan? Tiada apa-apa,” kata Dalic hari ini.

    “Sasaran pertama kami di Piala Dunia ialah melepasi peringkat kumpulan tetapi ia belum membuatkan saya atau pasukan berpuas hati. Kini kami perlu berdepan Denmark dan itulah saat sebenar.”

    Denmark bertahan dengan baik ketika berdepan Perancis untuk seri tanpa jaringan, Selasa lalu sekali gus mara selaku naib juara Kumpulan C dan ancaman besar Croatia di Nizhny Novgorod pastinya pemain tengah, Christian Eriksen.

    Eriksen memberikan hantaran baik dengan membantu menghasilkan gol kemenangan yang disempurnakan Yussuf Poulsen ketika berdepan Peru sebelum membuka koleksi jaringan peribadi dengan sepakan kencang ketika seri berdepan Australia.

    “Dia memang tonggak utama buat Denmark,” kata Dalic. “Tetapi kami tidak boleh hanya memberi tumpuan padanya. Kami bermain dengan cara sama ketika berdepan Lionel Messi dan Argentina. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda