Thursday, January 30, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak mengaku miliki ganja, Along Cham dibenar diikat jamin

    Pelawak Malaysia, Along Cham melakukan sujud syukur ketika berada di kandang tertuduh selepas satu kes dadah melibatkan dirinya diklasifikasikan sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

    Pertuduhan berkenaan diklasifikasikan sebagai DNAA selepas laporan kimia menunjukkan berat ganja yang dirampas daripada Along tidak melebihi 50 gram.

    Justeru, mengikut pertuduhan baharu, Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, didakwa memiliki dadah jenis ganja anggaran berat 49.61 gram di kediamannya di Cyberjaya, Selangor pada 14 Disember 2024. Dalam pada itu, bagi satu lagi pertuduhan pelawak itu didakwa memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) dan akan dibicarakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Jika disabitkan bersalah Along boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, dan pengawasan serta-merta untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun, lapor mStar.

    Bagaimanapun Along mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan. Dia kemudian dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

    Along Cham melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Sesyen melepaskannya atas pertuduhan memiliki kanabis. – Bernama

    Sebutan kes dan laporan kimia bagi kes berkenaan akan disebut pada 7 April depan.

    Untuk rekod, pada 14 Disember tahun lalu, Along ditahan bersama dua paket disyaki dadah jenis ganja di rumahnya, Cyberjaya, Selangor.

    Serbuan yang dilakukan sekitar pukul 3:10 petang itu mendapati hasil ujian saringan air kencing pelawak berkenaan positif dadah.

    Sementara itu, Along juga mempunyai satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret iaitu didakwa miliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 2.07 gram, di lokasi, masa dan tarikh sama.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda