Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin hari ini bertolak ke Bangkok, Thailand bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Khair Ummah kali ke-3 untuk negara-negara ASEAN.
Persidangan kali ini yang bertajuk Pengenalan Salafisme dan kebaikannya di negara ASEAN akan berlangsung selama dua hari bermula 25 sehingga 26 Januari.
Turut mendampingi beliau ke persidangan tersebut ialah Pemangku Penolong Mufti (Buhuth) di Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Awang Mohammad Sofian bin Awang Tengah.
Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Sheikh Dr Abdullatif Al Alsheikh, dijadualkan akan mempengerusikan persidangan kali ini yang akan dihadiri oleh menteri-menteri, mufti-mufti, wakil dari universiti-universiti, persatuan-persatuan Islam, pemimpin agama dan budaya dari negara-negara ASEAN.
Persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi itu bertujuan memberikan kesedaran tentang sumber-sumber kebaikan yang ada pada negara dan sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat sejagat, memperjuangkan keamanan, keadilan dan menyebarkan kebaikan.