DILI, Timor Leste, 22 Jun – Timor Leste akan melantik kerajaan baharu yang dipimpin oleh bekas pejuang gerila Taur Matan Ruak hari ini ekoran satu krisis politik yang telah melumpuhkan negara kecil di Asia Tenggara itu.
Ruak akan memimpin kerajaan kedua dalam kurang setahun di negara miskin yang memperoleh kemerdekaan pada tahun 2002 selepas diduduki selama 24 tahun oleh negara jiran Indonesia.
Dilahirkan sebagai Jose Maria Vasconcelos tetapi dikenali oleh nama samara Taur Matan Ruak yang bermakna ‘dua mata tajam’, Ruak ialah seorang komander dalam pasukan penentang Timor Leste sebelum menjadi ketua tentera negara yang baharu merdeka itu.
Dia juga memegang peranan yang bersifat adat istiadat bagi presiden di antara tahun 2012 dan 2017.
Parlimen dibubarkan pada Januari lalu di tengah ketegangan di antara kerajaan minoriti bekas perdana menteri Mari Alkatiri dan pembangkang yang menumpu pada wira kemerdekaan Xanana Gusmao.
Satu gabungan yang dipimpin oleh Gusmao memenangi majoriti mutlak dalam pilihan raya yang diadakan pada Mei lalu.
Kerajaan baharu Ruak termasuk anggota Kongres Nasional untuk Pembinaan Semula Timor Leste (CNRT) pimpinan Gusmao, Parti Pembebasan Rakyat (PLP) dan parti pemuda iaitu Khunto.
Pentadbiran baharu akan menghadapi cabaran besar, terutamanya apabila simpanan minyak dan gas yang semakin lenyap di Timor Leste.
Sumber itu telah digunakan bagi sebahagian besar perbelanjaan kerajaan, namun pendapatan minyak merosot mendadak dan negara itu hanya mempunyai beberapa sektor ekonomi produktif lain. – AFP