Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timor-Leste tinjau peluang kerjasama pendidikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah menerima kunjungan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Marcal Avelino Ximenes.

    Kunjungan Tuan Yang Terutama yang diiringi Timbalan Ketua Misi Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Erminio da Silva Pinto itu telah dialu-alukan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Menurut kenyataan UNISSA, kunjungan berkenaan bertujuan untuk meninjau peluang kerjasama dalam bidang pendidikan bukan hanya pengkhususan dalam bidang pengajian Islam bahkan bidang-bidang yang bersesuaian seperti bidang ekonomi, bidang pengurusan, bidang undang-undang dan juga penyelidikan halal.

    Sekalipun Republik Demokratik Timor-Leste masih dalam rangka pembangunan, namun dengan dasar pengamalan demokrasi ia berpotensi membina hubungan dengan negara tetangga dan antarabangsa serta memanfaatkannya untuk membangun sumber daya manusia mereka.

    Dr Haji Norarfan dan Tuan Yang Terutama Marcal Avelino Ximenes bersama pegawai yang hadir pada majlis kunjungan di UNISSA kelmarin.

    Sebagai sebuah negara dengan kapasiti penduduk lebih kurang 1.2 juta, Demokratik Republik Timor-Leste ini mempunyai lebih kurang dua peratus penganut agama Islam yang kebanyakannya bertutur dalam Bahasa Melayu Indonesia.

    Perjumpaan singkat itu juga secara langsung menyentuh mengenai program-program yang ditawarkan di UNISSA bagi melihat ruang yang boleh diikuti oleh pelajar negara berkenaan di UNISSA.

    Di samping itu, untuk mengenali lebih dekat mengenai Timor-Leste dan Islam di sana di samping menyelami budaya masyarakat dan keterbukaan pemerintahannya dalam sama-sama memberikan peluang kepada pelajar muslim melanjutkan pengajian mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda