Oleh Ak Zaki Kasharan & Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Tindakan tatatertib akan diambil terhadap mana-mana pegawai dan kakitangan kerajaan yang tidak bervaksinasi dan enggan melakukan ujian ART sebagaimana yang telah diarahkan.
“Sepertimana yang telah dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pandu COVID-19 semasa sidang media yang lalu, pegawai dan kakitangan kerajaan yang belum melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dibenarkan datang bertugas ke pejabat adalah dikehendaki untuk membuat ujian ART se-tiap dua hari,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.
Bagi kakitangan kerajaan yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksinasi COVID-19, mereka hendaklah menanggung sendiri kos ujian ART tersebut, tambahnya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesi-hatan, petang tadi.
Yang Berhormat Dato turut menegaskan tindakan tatatertib yang akan diambil oleh pihak kerajaan di mana segala kenyataan tatatertib yang bersesuaian itu akan ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri bersama Jabatan Perkhidmatan Awam nanti.
Sementara itu, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan ujian ART bersijil bolehlah diperolehi dari Pusat Pensijilan ART yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan yang mana tempoh sah laku sijil tersebut ialah dua hari.
Pusat Pensijilan ART yang diiktiraf juga akan mempamerkan pelekat Logo Art Certification Centres bagi memudahkan orang ramai mengenali pusat-pusat berkenaan, ujarnya lagi.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/12/P1-1A_11122021-1.jpg)