Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 18 FEB – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengendalikan Vaksinasi Rabies Pandu Lalu untuk anjing di Stesen Pertanian di Kampung Sungai Liang, kelmarin.
Pemvaksinan pandu lalu itu bukan sahaja berfungsi sebagai langkah pencegahan terhadap lonjakan kes rabies di negara jiran baru-baru ini malah untuk membantu menggalakkan pemilik anjing memastikan haiwan peliharaan mereka diberikan vaksin dengan betul.
Pegawai haiwan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Dr Raihan Zuhairah binti Haji Zulkifli menjelaskan bahawa pemvaksinan itu dijalankan sebagai inisiatif untuk memberikan vaksinasi percuma kepada anjing di daerah berkenaan serta meningkatkan kesedaran tentang bahaya rabies serta kepentingan memastikan haiwan peliharaan mereka sentiasa dikemas kini dengan vaksinasi yang betul.
“Kami bukan sahaja menyediakan vaksinasi rabies percuma untuk anjing pada inisiatif pandu lalu ini tetapi juga kad vaksinasi bagi pemilik anjing supaya mereka boleh menjejaki rekod vaksinasi haiwan kesayangan mereka, memudahkan mereka menjalankan vaksinasi susulan,” jelasnya.
Jabatan itu berharap dapat menjalankan vaksinasi rabies pandu lalu yang sama bukan sahaja untuk anjing tetapi juga kucing pada masa depan bagi daerah lain sebagai aktiviti tahunan yang bergantung kepada ketersediaan vaksin.
Selain itu, beliau menambah bahawa jabatan itu bersama Kementerian Kesihatan dan KHEDN, sebagai pasukan petugas bersama, juga kerap mengadakan jerayawara dalam bentuk Hari Kesedaran Penjagaan Haiwan Kesayangan (PCAD) bagi membantu meningkatkan kesedaran tentang penjagaan haiwan peliharaan yang betul.