Friday, January 24, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran kanser kolorektal

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser kolorektal (kanser usus besar) dan program saringan kanser kolorektal bagi menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal, sekumpulan pelajar Tahun 3 dalam bidang perubatan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Kempen Jerayawara Kesedaran Kanser Kolorektal semasa Program Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.

    Wakil kumpulan pelajar berkenaan, Awang Mohammad Khilfi bin Abu Bakar dan Dayang Alya Syahirah binti Haji Mohd Ali dalam temu bual bersama Media Permata, menerangkan kempen itu bermatlamat untuk memberikan orang ramai maklumat yang boleh dipercayai mengenai kanser kolorektal dan menangani stigma negatif mengenainya supaya masyarakat kita dapat mempelajari serta meningkatkan kesedaran mereka terhadap kanser berkenaan.

    Selain itu, kempen juga bertujuan untuk memperkasa orang ramai mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan cara hidup yang sihat. Ia juga sebagai galakan bagi individu yang berisiko atau yang dalam lingkungan usia yang disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan saringan.

    Menerangkan mengenai aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan menerusi kempen kesedaran itu, mereka menyatakan ia merangkumi aktiviti pendekatan masyarakat menerusi pelbagai kaedah ter-masuk acara jerayawara, gerai pameran, ceramah kecil, seminar, cabaran interaktif dan juga menerusi media sosial.

    Di samping itu, mereka juga mengadakan gerai pameran di enam lokasi iaitu di tempat-tempat awam dan pusat pengajian tinggi, di mana orang ramai boleh berkunjung serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif sambil mempelajari mengenai kanser kolorektal dengan pameran pada hari ini, merupakan acara atau lokasi keempat bagi kempen kesedaran mereka.

    Para pengunjung melihat dengan lebih dekat maklumat mengenai kanser kolorektal menerusi model kolon kembang gergasi yang dipinjamkan dari Unit Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit.
    Awang Mohammad Khilfi (kiri) dan Dayang Alya Syahirah memberikan penerangan mengenai kempen dan Jerayawara Kesedaran Kanser Kolorektal semasa Program Bandarku Ceria.

    Selain daripada aktiviti interaktif, mereka juga menyediakan beberapa tarikan bagi para pengunjung termasuk gerai foto dan model kolon kembung gergasi yang dipinjam dari Unit Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit.

    Mereka turut menyatakan bahawa kempen kesedaran berkenaan merupakan sebahagian daripada projek komuniti Tahun 3 mereka di mana salah satu objektif adalah untuk menilai sama ada terdapat peningkatan dalam skor pengetahuan peserta selepas menyertai acara itu melalui kajian soal selidik sebelum dan selepas program intervensi mereka.

    Mengulas mengenai sambutan orang ramai mengenai kempen berkenaan, mereka menyatakan bahawa pameran yang diadakan semasa Bandarku Ceria merupakan acara keempat yang diadakan oleh mereka di mana terdahulu daripada ini, mereka telah mengadakan acara kesedaran di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), The Mall, Gadong dan Politeknik Brunei Lumut dengan pameran terus mendapat sambutan yang baik.

    “Sepanjang kempen kami, kami terus menerima sokongan daripada Kementerian Kesihatan dan PJSC, yang mana kami sangat berterima kasih.”

    Mereka turut menyatakan bahawa semasa acara pertama yang diadakan di PJSC, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika melawat petak pameran mereka, menekankan pentingnya menggalakkan orang ramai untuk membuat pemeriksaan saringan kanser kolorektal kerana kanser berkenaan terus meningkat setiap tahun.

    Mereka turut menyatakan bahawa terdapat beberapa aktiviti kesedaran kanser kolorektal akan diadakan iaitu di UBD pada 31 Ogos dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada 3 September nanti.

    Manakala seminar pada 31 Ogos mengetengahkan penceramah jemputan dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jerudong Park Medical Centre dan PJSC.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda