Tuesday, September 24, 2024
34.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat rasa cinta mualaf terhadap Rasulullah SAW

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 23 SEPT – Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini telah menganjurkan Majlis Selawat Bersama Mualaf sempena sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 2024 yang berlangsung di Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Ugama di Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Awang Mohammad Aliyani bin Ismail, ketua Unit Dakwah Daerah Tutong dan Temburong, Yang Di-Pertua Sinar Islam serta pegawai dan kakitangan PDI.

    Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan selawat dan seterusnya diikuti dengan qasidah dan juga tazkirah.

    Selain itu, majlis berkenaan turut diserikan lagi dengan Dikir Asraqal dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis seumpama itu diadakan bertujuan untuk memupuk rasa cinta terhadap Rasulullah SAW khususnya dalam kalangan mualaf serta menggalakkan mereka agar sentiasa berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW bagi meraih ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah SWT.

    Haji Ahmad Abdussalam semasa menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Bacaan selawat dan qasidah menyerikan lagi majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda