Thursday, January 2, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tradisi pembuatan jean Jepun

    KOJIMA-AJINO, JEPUN – Menggelarnya sebagai penawar kepada fesyen pantas: Seluar jean Jepun yang diwarnakan dengan pewarna nila alami menggunakan tangan dan dipintal pada alat tenun vintaj usang, seterusnya dijual pada harga premium kepada pakar denim global.

    Tidak seperti jenama lain yang dihasilkan secara besar-besaran, pakaian lasak yang dikeluarkan di kilang Jeans Momotaro kecil di barat daya Jepun itu direka untuk dipakai selama beberapa dekad, dan datang bersama waranti pembaikan seumur hidup.

    Di kilang, Yoshiharu Okamoto mencelupkan tali kapas perlahan-lahan ke dalam tab cecair warna biru tua, yang mengotorkan tangan dan kukunya semasa dia mengulangi proses itu.

    Kapas itu diimport dari Zimbabwe, tetapi nila asli yang digunakan mereka dituai di Jepun – warnanya jauh lebih kaya daripada sintetik tiruan, menurut Okamoto.

    Dia menyebutnya kaedah yang ‘memakan masa dan mahal,’ yang biasa digunakan untuk mewarna kimono pada zaman Edo abad ke-17 hingga ke-19.

    Presiden Momotoro Jeans, Masataka Suzuki semasa temu ramah dengan AFP di daerah Kojima, Okayama. – AFP
    Sepasang jean yang dihasilkan di kilang Momotaro Jeans. – AFP
    Seorang pekerja memproses fabrik denim di kilang tersebut. – AFP
    Seorang pekerja menyeterika fabrik denim di kilang Momotaro Jeans di Okayama. – AFP
    Seorang pekerja, Yoshiharu Okamoto menunjukkan proses mewarna fabrik menggunakan tangan di kilang Momotaro Jeans. – AFP
    Alat tenun di kilang Momotaro Jeans di daerah Kojima, Okayama. – AFP

    Momotaro Jeans telah ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Japan Blue, salah satu daripada beberapa dozen pengeluar denim di bandar tepi laut Kojima, yang terkenal dengan kualiti artisan mereka.

    “Kami mengambil pendekatan yang amat ketat dalam semua aspek pembuatan,” kata Presiden Japan Blue Masataka Suzuki kepada AFP.

    Ini termasuk ‘sama ada jahitan dilakukan dengan betul, dan sama ada pewarna itu cantik,’ menjadikan tukang atau artisan tempatan yang mempunyai kemahiran pembuatan tradisional amat diperlukan.

    Walau bagaimanapun, usaha mereka tidak murah. Sepasang Jeans Momotaro standard dijual pada harga sekitar 30,000 yen (AS$200) manakala sepasang jean campuran sutera berharga 60,000 yen.

    Produk termahal jenama itu, ditenun dengan tangan pada mesin kayu yang diubah suai daripada mesin tenun kimono mewah, mempunyai tanda harga lebih 200,000 yen.

    Mengikuti jejak jenama denim Jepun mewah dan popular seperti Evisu dan Tebu yang berpangkalan di Osaka di Tokyo, minat terhadap Japan Blue semakin berkembang dalam kalangan pembeli luar negara.

    Mereka kini menyumbang 40 peratus daripada jualan runcit, dan syarikat itu baru-baru ini membuka kedai Kyoto keenamnya yang menyasarkan pelancong berada.

    REPUTASI ‘ISTIMEWA’

    Pembuatan denim berkembang pesat dari tahun 1960an di Kojima, yang mempunyai sejarah panjang dalam penanaman kapas dan pembuatan tekstil.

    Pada zaman Edo, bandar ini menghasilkan tali tenunan untuk samurai mengikat pemegang pedang. Ia kemudian beralih kepada penghasilan sarung kaki ‘tabi’ kaki dan seterusnya pakaian seragam sekolah.

    Kini denim dari Kojima digunakan oleh jenama fesyen mewah antarabangsa.

    Pasaran untuk seluar jean Jepun ‘telah berkembang pesat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun yang lalu,’ kata Michael Pendlebury, seorang tukang jahit yang mengendalikan kedai pembaikan di Britain yang dipanggil The Denim Doctor.

    Walaupun disegani oleh penggemar denim di negara-negara Barat, seluar berkenaan tetap ‘tidak cukup mampu dibeli untuk kebanyakan orang’ dengan reputasi ‘istimewa,’ kata Pendlebury.

    “Jenama denim yang dihasilkan secara besar-besaran seperti Levis, Diesel dan Wrangler adalah yang terbesar, dan lebih banyak dipakai, tetapi kualiti tertinggi masih buatan Jepun pada pendapat saya,” katanya sambil menambah yen yang lemah dan ledakan pelancongan boleh me-ningkatkan jualan seluar jean buatan Jepun.

    Momotaro Jeans dinamakan sempena wira cerita rakyat di Okayama, tempat terletaknya Kojima. Ia adalah sebahagian daripada kawasan pengeluar denim yang lebih luas, Sanbi, yang turut merangkumi Hiroshima.

    Satu lagi faktor yang menjadikan jenama seperti Momotaro Jeans istimewa – dan mahal – adalah penggunaan mesin tenunan lama yang bising, yang hanya mempunyai satu perempat daripada keluaran mesin tenun kilang terbaharu.

    Mesin tersebut sering rosak, tetapi satu-satunya orang yang tahu cara membaiki mesin berkenaan adalah mereka yang berumur dalam lingkungan 70an atau lebih, menurut Shigeru Uchida, seorang tukang tenun di Momotaro.

    Jenama itu menggunakan segelintir alat tenun lama yang dibuat pada tahun 1980an oleh sebuah syarikat milik Toyota.

    “Hanya terdapat beberapa alat tenun tersebut di Jepun sekarang’ kerana ia tidak lagi dibuat, kata Uchida yang berusia 78 tahun, berjalan ulang-alik antara mesin untuk mengesan bunyi luar biasa yang mungkin menandakan kerosakan.

    Meskipun mengalami kerumitan, dia berkata fabrik mereka menjadikannya berbaloi.

    “Teksturnya sangat licin apabila disentuh… dan apabila dijadikan seluar jean, ia bertahan agak lama,” kata Uchida.

    Suzuki berkata Jeans Momotaro ialah pilihan ‘mampan’ kerana ‘tidak kira bila awda membawanya kepada kami, kami akan bertanggungjawab untuk membetulkannya.’

    “Apabila orang menghabiskan banyak masa dalam seluar jean mereka, haluan hidup mereka digambarkan pada pakaian, bergantung pada cara mereka memakai atau mencucinya dan juga di mana mereka tinggal,” kata Suzuki.

    “Kami mahu mengekalkan ciri-ciri sedemikian selama mungkin”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda